PROGRAM Jelajah Ramadan dimeriahkan dengan penyertaan ahli PCMM yang membawa motorhome masing-masing.

Jelajah masjid-masjid dengan motorhome imarahkan Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HADIRNYA bulan Ramadan merupakan momen yang sangat ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam termasuklah di negara ini.

Bagi Ibrahim Abd. Wahab, 65, seperti tahun-tahun lalu, dia telah memasang niat untuk meningkatkan amal ibadahnya sepanjang bulan mulia itu.

Sebagai seorang pesara kerajaan, dia mempunyai banyak masa terluang untuk melakukan pelbagai ibadah sama ada di rumah atau masjid.

Pada Ramadan kali ini, ia agak istimewa bagi dirinya kerana berpeluang berkunjung ke beberapa buah masjid untuk menyertai program mengimarahkan Ramadan anjuran Persatuan Campervan dan Motorhome Malaysia (PCMM).

“Sebagai ahli PCMM, sudah tentulah saya tidak mahu melepaskan peluang untuk menyertai program berbentuk ibadah ini, apatah lagi ia dilaksanakan pada bulan Ramadan.

“Walaupun semua lapan buah masjid yang terpilih terletak di Negeri Sembilan, tetapi saya sanggup berhabis wang ringgit untuk pergi ke semua lokasi berkenaan pada setiap minggu.

“Bagi saya, program mengimarahkan masjid ini lebih utama daripada wang ringgit, selain untuk mencari keredaan Allah SWT,” katanya yang tinggal di Serdang, Selangor.

SUASANA malam di pekarangan masjid yang dipenuhi dengan motorhome.

Tambah Ibrahim, dia juga telah mendaftarkan diri untuk hadir ke semua lokasi masjid bermula pada awal Ramadan sehinggalah ke lokasi terakhir di Masjid Jamek Dato’ Kelana Petra Sendeng, Ampangan pada 15 April lalu.

Program julung kali itu turut menarik minat seorang lagi ahli PCMM, Ahmad Abdullah, 54, yang sanggup menjelajah kira-kira 500 kilometer (km) dari rumahnya di Kuala Terengganu ke Kuala Pilah untuk menyertai program tersebut.

“Pada empat lokasi masjid yang diadakan pada minggu pertama dan kedua Ramadan, saya tidak berkesempatan untuk menyertainya kerana bertugas di luar pesisir.

“Kebetulan, saya baru pulang dari pesisir beberapa hari lalu.

“Jadi, saya ambil kesempatan untuk menyertai program Jelajah Ramadan ini walaupun terpaksa memandu sejauh 500 km.

“Bagi saya, pengalaman yang dikutip selama dua hari itu sangat berharga.

“Apatah lagi, saya dapat menghidupkan malam-malam Ramadan secara beramai-ramai bersama dengan jemaah masjid, selain tetamu jemputan yang terdiri daripada pelajar-pelajar tahfiz,” katanya.

Kata Ahmad lagi, dia pasti akan menyertai program seumpama itu sekiranya dianjurkan pada masa akan datang.

Jelasnya, ia bagi menjadikan masjid sebagai salah satu lokasi penganjuran program oleh PCMM.

RAMAI jemaah hadir ke masjid bagi memeriahkan program Jelajah Ramadan.

Mengulas lanjut mengenai program Jelajah Ramadan, Presiden PCMM, Farman Othman berkata, program itu dianjurkan oleh PCMM, Yayasan Negeri Sembilan (YNS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Katanya, persatuan membantu menjayakan program tersebut dengan membawa puluhan motorhome ke setiap masjid sebagai tarikan.

Jelasnya, terdapat lapan buah masjid telah dipilih sebagai lokasi persinggahan kepada 180 peserta yang terdiri daripada ahli PCMM, pelajar institusi pengajian tinggi, pelajar tahfiz dan kakitangan YSN serta JHEAINS.

“Di setiap lokasi persinggahan, terdapat pelbagai program telah diatur dan dilaksanakan melibatkan aktiviti keagamaan serta pengimarahan.

“Antaranya seperti berbuka puasa, bersahur, solat berjemaah, solat tarawih, solat tahajjud serta tadarus al-Quran.

“Ada juga aktiviti-aktiviti sampingan seperti memanah, tazkirah, ceramah agama dan kursus ternakan arnab, selain sumbangan kepada golongan asnaf,” katanya.

Menurut Farman lagi, biarpun ia merupakan program pertama seumpamanya disertai oleh PCMM, namun sambutan yang berikan oleh ahli qariah di setiap lokasi sangat baik.

Katanya, sebahagian daripada masyarakat menyatakan rasa teruja dapat melihat motorhome secara dekat.

“Apabila ada masa terluang, kami memang menyediakan ruang kepada para jemaah masjid serta peserta untuk merasai sendiri pengalaman masuk dan berada di dalam motorhome ini.

“Selama ini mungkin mereka hanya melihatnya di kaca televisyen sahaja.

“Namun kali ini, mereka dapat melihat di depan mata dan berpeluang menaikinya.

“Tidak banyak perkara yang kami dapat sumbangkan kepada program pengimarahan masjid ini.

“Dengan adanya motorhome ini, kami dapat menarik minat jemaah setempat untuk sama-sama ke masjid,” katanya.

Sebahagian peserta Jelajah Ramadan bergambar kenangan selepas tamat program di salah sebuah masjid.

Dalam pada itu, Pengarah YNS, Datuk Muhammad Nazri Kassim berkata, sebagai penganjur utama, pihaknya telah menyediakan peruntukan untuk menampung sebahagian besar perbelanjaan bagi menganjurkan program Jelajah Ramadan.

Katanya, penyertaan PCMM dalam program tersebut telah berjaya menarik minat ahli qariah setempat untuk turut serta mengimarahkan program keagamaan yang telah diatur.

Katanya, pihaknya sangat berbesar hati apabila Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun juga sanggup turut padang bagi memeriahkan program yang diadakan di Masjid Kariah Kampung Sawah, Port Dickson pada 31 Mac lalu.

“Kita melihat bahawa program Jelajah Ramadan ini sangat berjaya. Kehadiran dan sambutan ahli qariah di setiap lokasi masjid sangat baik.

“Tambahan pula, program ini dimeriahkan dengan kehadiran puluhan motorhome di pekarangan masjid. Insya-Allah, kita akan melihat kemungkinan untuk terus bekerjasama dengan PCMM selepas ini,” ulasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN