fbpx

TCG Anadolu kapal induk dron pertama dunia milik Turkiye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kira-kira 70 peratus daripada kapal TCG Anadolu dibina menggunakan sumber tempatan sepanjang tujuh tahun. – Anadolu Agency

ANKARA – Tentera Laut Turkiye memperkukuhkan kekuatan armadanya dengan memperkenalkan kapal pengangkut pesawat ringan yang juga berperanan sebagai kapal serangan amfibia, TCG Anadolu, laman berita Middle East Eye kelmarin.

TCG Anadolu disifatkan sebagai kapal pengangkut dron pertama di dunia.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata, kapal itu menandakan titik perubahan dalam industri pertahanan negara. Ini kerana, 70 peratus komponen TCG Anadolu dibina menggunakan sumber tempatan, manakala pembinaannya pula mengambil masa selama tujuh tahun.

“TCG Anadolu adalah kapal pertama di dunia yang boleh mengangkut dron bersenjata.

“Ia juga boleh mengangkut kereta kebal dan kenderaan perisai amfibia. Kedua-dua ciri ini membolehkan TCG Anadolu digunakan untuk operasi ketenteraan dan juga kemanusiaan di setiap pelosok dunia apabila diperlukan,” kata Erdogan.

Tambah beliau, reka bentuk kapal tersebut diubah suai untuk membawa pesawat kawalan jauh yang sedang dibangunkan seperti dron Bayraktar TB3, jet tempur tanpa pemandu Kizilelma dan pesawat pejuang ringan Hurjet.

Dibina di limbungan kapal Sedef di Istanbul, kapal sepanjang 231 meter dan lebar 32 meter itu juga boleh mengangkut helikopter.

“Persenjataan kapal, sistem tempur, peperangan elektronik, sistem pencarian dan pengesa­nan inframerah, pencarian elektro-optik, amaran laser, sistem pertahanan torpedo serta radar, semuanya dibina di dalam negara,” ujar Erdogan.

Sementara itu, felo kanan firma pemikir Atlantic Council, Kolonel (B) Rich Outzen berkata, TCG Anadolu membolehkan tentera Turkiye melakukan operasi peninjauan dan serangan terhadap sasaran laut dan pesisir pantai di seluruh rantau Mediterranean.

“Kapal dwi ancaman ini memiliki keupayaan untuk membawa peralatan darat bagi serangan amfibia serta menjadi kapal terbesar dalam angkatan Tentera Laut Turkiye,” jelasnya.

Tambah Outzen, kapal tersebut mempunyai kapasiti untuk memindahkan pasukan tentera sekurang-kurangnya saiz ­batalion di Laut Aegean, Mediterranean dan Laut Hitam. Ia memiliki keupayaan logistik sendiri tanpa memerlukan sokongan tambahan.

“Ia juga boleh digunakan jauh ke luar negara, bergantung kepada keperluan dan pakatan,” ujarnya.

TCG Anadolu boleh membawa sehingga 94 kenderaan termasuk 13 kereta kebal, 27 kenderaan serangan amfibia berperisai, enam kenderaan perisai pengangkut tentera, 33 kenderaan pelbagai guna serta 15 treler.

Selain itu, ia boleh digunakan untuk misi bantuan bencana alam apabila diperlukan. Dengan kemudahan hospital atas kapal serta bilik bedah, TCG Anadolu boleh menyediakan bantuan perubatan dalam operasi bencana alam, bantuan kemanusiaan serta operasi memindahkan pelarian.
– Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI