fbpx

Mahkamah: Bomoh didakwa tipu warga emas lebih RM460,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang pengamal perubatan tradisional didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan memperdayakan seorang warga emas dengan memberikan perkhidmatan spiritual keagamaan sehingga mangsa membuat pembayaran melebihi RM460,000.

P. Wicknesvaran, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Wicknesvaran didakwa memperdayakan G. Kanniason, 60, untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh memberikan perkhidmatan spiritual keagamaan sehingga mangsa membuat pembayaran berjumlah RM467,935 bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Yap Kwan Seng, Menara Ampang, di sini, di antara 21 Julai dan 29 Disember 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Shamsher Singh Thind yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik kepada polis.

Sabariah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 10 Mei ini untuk sebutan kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI