fbpx

Dewan Negara: RUU Perbekalan Tambahan (2022) 2023 diluluskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad

KUALA LUMPUR – Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2022) 2023 untuk perbelanjaan tambahan mengurus berjumlah RM60,174.9 juta daripada Kumpulan Wang Disatukan.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibentang pada bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan dan dibahas tujuh Ahli Dewan Negara.

Antaranya ialah Senator Datin Ros Suryati Alang, Senator Datuk Wira Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli, Senator Datuk Arman Azha Abu Hanifah, Senator Datuk Jefridin Atan, Senator Abu Sui Anyit, Senator Mohd. Hasbie Muda dan Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Ahmad berkata, perbekalan tambahan itu bukan satu perbelanjaan baharu tetapi merupakan sebahagian keperluan kewangan untuk menampung perbelanjaan pembangunan bagi tahun 2022 yang berjumlah RM71,574 juta.

Katanya, ia melibatkan 10 perkhidmatan, yang mana Perkhidmatan Am Perbendaharaan menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM52,776.5 juta diikuti Kumpulan Wang Terkanun (RM2,241.5 juta) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (RM2,058.1 juta).

“Selain itu, Perbendaharaan menerima peruntukan sebanyak RM1,191.3 juta, Kementerian Pendidikan (RM803.6 juta), Kementerian Kesihatan (RM676.5 juta), Kementerian Pertahanan (RM303.7 juta), Suruhanjaya Pilihan Raya (RM84.8 juta), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (RM24.5 juta) dan Kementerian Perpaduan Negara (RM14.1 juta),” katanya, di Dewan Negara, di sini hari ini.

Mengulas berkenaan subsidi bersasar yang ditanya Dr. Hatta, Ahmad menjelaskan bahawa sistem terbabit kemungkinan siap pada Julai ini dan akan memaklumkan tempoh pelaksanaannya.

“Mengenai isu subsidi diesel, walaupun kita akan laksanakan kemudian, pemberian subsidi akan dikekalkan untuk pengangkutan bas sekolah, bas ekspres, teksi, tidak akan terjejas.

“Selain itu, jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi subsidi bersasar. Data dari Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri, kita akan kumpulkan data itu untuk ketika ini dan kita akan kekalkan Ron95,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, kerajaan akan melaksanakan subsidi bersasar secara berperingkat bagi mengelakkan kadar inflasi yang boleh mencecah sehingga 10 ke 12 peratus.

“Subsidinya adalah untuk diesel, selepas diesel barulah petrol. Kita buat secara berperingkat (kerana) jika kita buat secara sekali gus, ia akan mendatangkan kesan besar seperti mana ia boleh menaikkan kadar inflasi 10 ke 12 peratus,” ujarnya.

Pada masa sama, kata beliau, kerajaan bersedia dan mempunyai dana yang mencukupi bagi melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada tahun ini.

“Ya, kita ada dana mencukupi, sejumlah dana tertentu akan digunakan untuk melaksanakan PRN di enam negeri.

“Untuk PRN ada jumlah tertentu dan mereka sedang mengira berapa jumlahnya, saya belum pasti bila, tetapi khabarnya bulan Jun, Julai, Ogos, begitulah. Nanti mereka akan membuat anggaran berapa jumlahnya. Untuk PRU15, sebanyak RM1 bilion kita telah gunakan,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan juga tidak berhasrat untuk memansuhkan pencen kerana ia merupakan perbelanjaan yang termaktub di bawah Perkara 98 Perlembagaan Persekutuan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI