fbpx

Jaafar Onn terkilan dilabel cuma boleh pegang watak lelaki lembut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JAAFAR mahu membuktikan kemampuan dirinya membawakan watak lebih mencabar dalam lakonan selepas ini.

PETALING JAYA – Pelakon senior Jaafar Onn melahirkan rasa terkilan dengan dakwaan ramai bahawa dia hanya boleh menjayakan watak lelaki lembut dalam lakonan.

Lebih membuatkan Jaafar, 72, kecewa, terdapat individu yang menyebar dakwaan dia tidak boleh menjayakan karakter berbeza.

“Memang terkilan dengan sikap segelintir individu yang cakap saya hanya boleh bawa watak lelaki lembut.

“Dakwaan sebegitu diibaratkan hendak menabur pasir dalam periuk nasi dan menjatuhkan kerjaya seni saya,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis tayangan program raya Astro 2023 di sini, semalam.

Pelakon yang terkenal menerusi drama Cili Padi itu juga meluahkan rasa kecewa dengan sikap sesetengah pihak yang mengehadkan kemampuan lakonannya hanya untuk sesetengah karakter tertentu.

“Kadang-kadang orang kita juga yang menjatuhkan kita. Mereka kata saya tak boleh buat itu dan ini termasuk Jaafar Onn tak boleh berlakon.

“Jaafar Onn hanya boleh berlakon watak lembik dan tak boleh watak lain. Hanya itu yang mereka fikir saya boleh buat, memang rasa kecewa,” ujarnya.

Ingin membuktikan apa yang didakwa ramai tersebut salah, Jaafar atau nama lengkapnya Jaafar Onn Awang kini mencari watak yang lebih mencabar dirinya dalam lakonan.

“Berilah apa sahaja watak, saya terima. Sekarang saya sedang mencari watak seorang ayah yang dianiaya oleh anak-anak.

“Saya sedang menanti siapa (pengarah) yang boleh tawarkan watak begini sebab saya mampu untuk menangis. Selama ini orang ingat saya hanya boleh bawa watak lembut. Itu tak betul,” jelasnya.

Dalam pada itu, berkongsi keadaan terkini tahap kesihatannya, dia bersyukur sudah dapat kembali bekerja seperti biasa.

“Saya boleh aktif kerana banyak makan suplemen. Tapi sebulan sekali saya kena jumpa doktor untuk pemeriksaan kesihatan.

“Sebenarnya bacaan tekanan darah, paras gula dan kolesterol okey dan tak perlu bimbang cuma kena hadkan minum air satu liter sehari.

“Untuk terima tawaran persembahan pun ikut keadaan juga. Pada usia sekarang, kerjaya seni hanyalah sebagai hobi,” katanya lagi.

Hujung Mac lalu, Jaafar dimasukkan ke Hospital Ampang akibat keletihan melampau kerana kepadatan jadual untuk Ramadan dan Syawal ditambah dengan penyakit gout yang dihidapinya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI