fbpx

Sanusi usaha bayar ganti rugi saman fitnah Mahfuz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sanusi.

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan beliau akan berusaha membayar ganti rugi berjumlah RM120,000 ditetapkan Mahkamah Rayuan kepada bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, berhubung saman fitnah.

Katanya, beliau sememangnya sedar dengan tanggungjawab untuk melunaskan tuntutan tersebut dan pada masa menyatakan ia tidak sesekali mengendurkan tekad perjuangan dengan membiarkan rakyat Kedah terjebak dengan judi.

“Apabila sudah didapati bersalah, menjadi tanggungjawab saya untuk melunaskan tuntutan mereka. Saya akan berusaha membayar berapa pun harganya.

“Mengambil mudah atau mengendurkan tekad perjuangan hanya kerana kepentingan politik, takut hilang sokongan atau membiarkan rakyat negeri ini terjebak menjadi kaki judi tidaklah sekali-kali,” katanya di akaun Facebooknya, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, sebagai ahli dan pimpinan Pas, beliau serius dengan usaha membanteras kegiatan perjudian di Kedah.

Kata beliau, sejak mengambil alih kerajaan sejak 17 Mei 2020, satu langkah besar dibuat untuk menghentikan pengeluaran lesen premis perjudian di seluruh Kedah.

“Antara 2021 hingga 2022, pemberian lesen premis perjudian di seluruh Kedah dihentikan ketika lesen sedia ada beransur-ansur tamat. Mulai 2023, tiada lagi premis perjudian berlesen di seluruh Kedah, selari dengan keseriusan Pas menghentikan kegiatan merosakkan seluruh masyarakat di negeri ini.

“Jika terdapat premis judi tanpa lesen, maka polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan melaksanakan operasi membanteras perjudian selari peruntukan undang-undang. Inilah yang dimaksudkan tidak main-main atau ambil mudah dengan judi,” katanya.

Mahkamah Rayuan pada semalam memerintahkan Muhammad Sanusi membayar ganti rugi sebanyak RM120,000 kepada Mahfuz yang juga bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia berhubung saman fitnah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI