fbpx

Janna Nick tak rendahkan, gelakkan sesiapa – Amelia Henderson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMELIA mempertahankan Janna Nick yang teruk dikritik netizen selepas muncul sebagai tetamu program bual bicaranya Studio Sembang.

PETALING JAYA – Susulan kecaman hebat, aktres Amelia Henderson tampil mempertahankan rakan artis, Janna Nick sekali gus menyangkal dakwaan ramai kononnya pelakon itu memandang rendah golongan yang mementingkan keseimbangan dalam pekerjaan dan kehidupan.

Tindakan tersebut dilakukan oleh pemilik nama penuh Amelia Thripura Henderson selepas video temu bualnya bersama pelakon drama Leftenan Zana berkaitan kehidupan dan kerjaya tular dalam media sosial sejak semalam.

Amelia, 27, menjelaskan, Janna tiada niat untuk mentertawakan golongan yang berusaha keras dalam pekerjaan tersebut sebaliknya berasa lucu dengan kerja yang pernah dilakukannya  untuk mencapai kehidupan seimbang seperti hari ini.

“Janna tidak gelakkan sesiapa yang mahu capai keseimbangan dalam kehidupan.

“Dia ketawa kerana melihat semula kerja keras yang dilakukan sebelum ini untuk memiliki kehidupan dan pekerjaan yang stabil ketika ini,” katanya dalam satu ciapan Twitter semalam.

Cuba meredakan situasi, Amelia menjelaskan memahami kehidupan individu yang bekerja keras untuk menampung kehidupan atau demi sesuap nasi.

Dia juga menerima setiap pandangan ramai dengan positif dan turut bersetuju dengan setiap hal yang dikongsi Janna.

“Sebelum mempunyai ruang nak fikirkan keseimbangan dalam kehidupan dan kerja, anda perlu fikirkan dulu, bagaimana untuk meletakkan makanan di atas meja untuk diri sendiri dan keluarga. Dari situlah Janna muncul.

“Kita semua ada pendapat, terdapat orang yang tak kejar wang ringgit dalam hidup, itu semua okey sahaja.

“Namun episod kali ini tentang perjalanan hidup Janna. Saya setuju dengan apa yang dia cakap sebab merasakan ada juga orang di luar sana melakukan hal sama,” jelasnya.

Dalam bebenang ciapan sama, bintang Kisah Cinta Kita itu juga khalayak berfikiran positif menghadam kandungan temu bualnya bersama Janna. Dia bagaimanapun menyerahkan penilaian baik buruk kepada orang ramai.

“Ambil hal yang positif sahaja. Okey sahaja jika tidak setuju dengan pendapat ini.

“Pendapat anda yang sesuai untuk diri sendiri.

“Ini hanyalah satu perbezaan dan jika tidak sesuai, tiada siapa yang memaksa anda untuk bersetuju okey?” ujarnya panjang lebar.

Sementara itu, dalam Twitter, segelintir netizen berpendapat Janna memang menyebut tentang generasi sekarang selain tersinggung dengan ‘babak’ ketawa aktres tersebut.

JANNA ketika menjadi tetamu jemputam dalam program Studio Sembang kendalian, Amelia Henderson.

“Saya faham dia berasal dari mana tetapi aksi gelak itu tak sepatutnya dilakukan.

“Dia memang tuju kepada generasi sekarang, bukannya kehidupan sendiri,” komen beberapa netizen.

Sejak semalam, nama Amelia dan Janna terus sohor kini apabila ramai yang meluahkan pelbagai pandangan mengenai perkongsian Janna.

Selain itu, terdapat juga netizen yang kurang berpuas hati apabila Amelia menyokong pandangan rakannya itu.

“Saya sentiasa perasan generasi sekarang mahukan work life balance (ketawa).

“Maaf ya, saya ada hal itu apabila berusia 28 tahun selepas saya membeli dua rumah dan kereta.

“Bukan nak berlagak tetapi saya kini boleh relaks sedikit selepas memiliki beberapa hal dalam hidup,” kata Janna dalam temubual tersebut.

Janna juga memberitahu selagi impian hidup belum tercapai, selagi itu keseimbangan dalam hidup dan kerja tidak boleh dicapai.

“Kalau tiada satu pun sasaran dalam hidup belum dicapai, jangan sesekali terfikir untuk memiliki keseimbangan tersebut.

“Paling tidak, mak ayah awak kaya dan kau boleh melakukannya, itu sahaja,” ujarnya.

Sekadar info, Studio Sembang merupakan program temu bual Amelia secara santai bersama tetamu undangan yang terdiri daripada golongan selebriti dan pempengaruh media sosial.

Video-video temu bual program tersebut turut dimuat naik dalam akaun YouTube rasminya setiap minggu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI