KOTA BHARU – Polis Kelantan sudah meluluskan sebanyak 34 daripada 85 permohonan permit menjual mercun dan bunga api yang dipohon oleh peniaga seluruh negeri sehingga hari ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, daripada jumlah permohonan itu, sebanyak 48 permohonan sedang dalam proses manakala tiga lagi ditolak.
Menurutnya, peniaga di Kota Bharu paling banyak memohon permit untuk menjual mercun dan bunga api iaitu sebanyak 35 permohonan, namun hanya 21 permohonan diluluskan setakat ini.
“Kita menjangkakan lebih ramai peniaga akan membuat permohonan permit untuk menjual kedua-dua barangan itu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Polis Kelantan tidak akan menyekat permohonan peniaga sekiranya mereka memenuhi syarat yang ditetapkan. Selain itu, kita turut mengambil kira jualan mercun dan bunga api di lokasi yang tidak menggugat keselamatan orang ramai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Agihan Bubur Lambuk di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE














