fbpx

Polis buru suspek larikan 70 unit iPhone

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAKAMAN CCTV seorang lelaki memecah masuk sebuah kedai telekomunikasi dan melarikan kira-kira 70 unit iPhone dalam kejadian di Kompleks Menara Condong Teluk Intan di sini pagi tadi.

TELUK INTAN – Polis sedang memburu suspek kes samun bersenjata di Kompleks Menara Condong Teluk Intan di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, seorang pengawal keselamatan cedera di kepala selepas bergelut dengan suspek yang bersenjatakan kapak.

Katanya, ketika kejadian, mangsa berusia lingkungan 60-an itu sedang berehat di kaunter tandas di kompleks perniagaan berkenaan.

“Suspek yang membawa sebilah kapak telah mengacukan senjata tersebut ke arah mangsa. Mangsa cuba mengelak dan berlaku pergelutan antara mereka sebelum suspek menetak bahagian atas kepala lelaki itu.

“Suspek telah membawa mangsa ke tandas dan mengikat kaki dan tangan lelaki itu sebelum menguncinya dari luar tandas,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, suspek kemudian bertindak memecah masuk sebuah kedai telekomunikasi di kompleks berkenaan dan melarikan kira-kira 70 unit telefon bimbit jenis iPhone yang berada di rak pameran.

Katanya, jumlah kerugian yang dialami pemilik kedai dianggarkan sebanyak RM300,000.

“Usaha sedang dijalankan bagi mengesan dan menangkap suspek. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak atau balai polis berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI