fbpx

Penyusutan dana KWSP beri kesan kepada pelaburan, pencarum lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAFIZI

PETALING JAYA – Pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikhuatiri akan memberikan kesan kepada pelaburan negara termasuk pencarum-pencarum lain.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, dalam tempoh dua tahun lalu, sejumlah RM145 bilion caruman KWSP telah dibenarkan keluar oleh pentadbiran terdahulu.

“Apabila dana KWSP menyusut, ia akan menghadkan keupayaan KWSP untuk mempelbagaikan dan mengukuhkan strategi pelaburan demi mendapat keuntungan yang lebih baik.

“Ia juga memberi kesan kepada pencarum-pencarum lain walaupun mereka tidak mengeluarkan caruman kerana jika pulangan KWSP secara keseluruhannya rendah, maka mereka pun akan turut menanggung kesan itu,” katanya menerusi satu video dimuat naik di Twitter, hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, meskipun pencarum mungkin mengeluarkan wang untuk keperluan hari ini, tetapi KWSP diwujudkan bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai simpanan di hari tua.

“Dalam keadaan sebahagian besar daripada pencarum-pencarum ini tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk hari tua.

“Seperti yang diumumkan di dalam Belanjawan 2023, tindakan kerajaan sebaliknya menambahkan lagi caruman dan simpanan kepada pencarum-pencarum KWSP,” ujarnya.

Tambahnya, tanggungjawab kerajaan adalah untuk melindungi rakyat terutamanya golongan yang berisiko seperti pencarum-pencarum KWSP yang tidak mempunyai simpanan yang mencukupi di hari tua.

“Sebab itu kita pilih jalan yang memberi kebaikan kepada semua bukan memilih jalan singkat semata-mata untuk meraih populariti, tetapi meninggalkan masalah kepada pimpinan lain di masa hadapan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI