fbpx

Jenayah meningkat di Putra Perdana, enam SJR dilancar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Kamarul menunjukkan peta lokasi SJR yang dilaksanakan bagi mengurangkan kes jenayah. - Foto FAISOL MUSTAPA/KOSMO!

SEPANG- Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) membabitkan enam lokasi berbeza di sekitar Putra Perdana ekoran peningkatan kes jenayah dicatatkan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, SJR selama tiga hari bermula hari ini merupakan sebahagian daripada Op Cegah Jenayah yang dijalankan sejak 21 Mac lalu.

“Di bawah IPD Sepang terdapat tujuh buah balai polis dan ketika ini, jumlah kes jenayah agak menonjol di kawasan Balai Polis Putra Perdana. Atas sebab itu kita tumpukan operasi cegah jenayah di kawasan pentadbiran tersebut.

“SJR yang dijalankan bermula hari ini membabitkan enam lokasi mengikut kawasan atau hot spot di bawah pentadbiran Balai Polis Putra Perdana dengan kekuatan kira-kira 100 anggota termasuk dibantu Balai Polis Cyberjaya dan Sepang,” katanya menerusi sidang akhbar Op Khas Putra Perdana di sini hari ini.

Enam SJR yang dilaksanakan membabitkan Jalan Aman Putra, 16 Sierra, Jalan Meranti Jaya, Bukit Puchong 2, Jalan Putra Prima dan Jalan Pulau Meranti.

Katanya, berdasarkan statistik, Balai Polis Putra Perdana mencatatkan kes jenayah tertinggi iaitu sebanyak 41 kes bermula 1 Januari hingga 31 Mac diikuti Balai Polis Cyber sebanyak 33 kes, Balai Polis Dengkil (32 kes), Balai Polis Dato Abu Bakar Baginda (31 kes), Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi (27 kes), Balai Polis Sungai Pelek (16 kes) dan Balai Polis Sepang (tiga kes).

“Bagi tempoh bulan Mac sahaja, kawasan Putra Perdana mencatatkan sebanyak 16 kes jenayah harta benda membabitkan curi dalam bangunan, curi motosikal dan kenderaan serta pecah rumah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Wan Kamarul berkata, secara keseluruhan IPD Sepang turut mencatatkan peningkatan sebanyak 161 kes atau 45.04 peratus indeks jenayah bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Mac, berbanding 111 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Sejak Op Cegah Jenayah dilaksanakan pada 21 Mac, indeks jenayah yang dicatatkan berada pada paras 45.30 peratus mula menunjukkan penurunan sehingga 35.56 peratus pada 31 Mac lalu.

“Justeru, kita sasar kadar indeks jenayah bagi IPD Sepang di bawah paras 25 peratus sehingga operasi ini tamat pada Rabu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI