fbpx

Puasa tapi beli nombor ekor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguat kuasa JAIM menahan dua lelaki di sebuah premis nombor ekor di Alor Gajah, Melaka, semalam.

ALOR GAJAH – Dua lelaki memberikan alasan ingin mencari duit lebih bagi membuat persiapan hari raya Aidilfitri selepas dicekup membeli nombor ekor di sebuah premis judi di sini, semalam.

Lelaki beragama Islam berusia 52 dan 63 tahun itu ditahan dalam operasi Operasi Perangi Jenayah Syariah (Perjasa) yang dijalankan tujuh penguat kuasa Jabatan Agama Islam (JAIM) bermula pukul 10 pagi sehingga 2 petang.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, kedua-dua individu terbabit dicekup ketika sedang leka membeli nombor ekor di kaunter premis judi berkenaan.

“Hasil soal siasat kedua-dua individu tersebut mendakwa mereka tidak bekerja dan tinggal di kawasan berhampiran.

“Mereka ini memberikan alasan ingin mencuba nasib bagi mendapat duit lebih untuk persiapan hari raya Aidilfitri,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, semalam.

Mengulas lanjut beliau berkata, mereka yang ditahan bagaimanapun mengakui berpuasa.

“Kedua-dua mereka telah diberikan surat perintah hadir ke pejabat JAIM bagi memberi keterangan di bawah Seksyen 81 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 (Berjudi).

“Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI