fbpx

Ketupat cicah sekaya hidangan istimewa lebaran Ryan Bakery

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UNTUK lebaran tahun ini, Ryan Bakery akan beraya di rumah mentuanya di Melaka.

PETALING JAYA – Meskipun kedengaran agak pelik, namun pempengaruh yang juga selebriti media sosial, Ryan Bakery menganggap hidangan ketupat atau lemang yang dicicah dengan sekaya merupakan makanan paling lazat yang harus dicuba setiap orang.

Ujar Ryan atau nama lengkapnya, Muhammad Ryan Fahmi Bakery, selain rendang ayam, ketupat dan lemang yang dicicah dengan sekaya sama ada coklat atau pandan menjadi makanan kegemarannya sewaktu lebaran dan diakui sangat enak untuk dinikmati.

“Selain rendang ayam air tangan ibu saya, makan ketupat atau lemang yang dicicah dengan sekaya juga sangat sedap. Mungkin ramai yang tidak pernah cuba dan tahu.

“Bila saya bercerita dengan kawan-kawan, ramai yang anggap selera saya pelik. Tapi hakikatnya rasa ketupat dan lemang yang dicicah dengan sekaya memang sedap,” kongsinya kepada Kosmo! Online.

Cerita Ryan, dia mula terpikat dengan makanan tersebut sejak dari zaman kanak-kanak selepas secara suka-suka mencicah ketupat bersama sekaya untuk dimakan dan ternyata rasanya enak.

“Tabiat makan ketupat atau lemang yang dicicah dengan sekaya ini berlaku sejak zaman saya kanak-kanak lagi.

“Saya saja suka-suka cicah ketupat dalam sekaya dan ternyata rasanya sangat sedap. Sehingga ke hari ini, setiap kali makan ketupat atau lemang, saya akan cicah dengan sekaya,” katanya sewaktu ditemui di majlis pelancaran lagu Raya Last Minute nyanyiannya bersama Andi Bernadee di Ibis Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketika disoal tentang peruntukan raya yang dibelanjakan pada tahun ini, seakan berahsia, Ryan memberitahu dia belum ada ketetapan bajet tertentu, namun yang pasti dia menyediakan kelengkapan dapur di kampung termasuk di rumah ibu mentuanya di Melaka.

“Kalau duit raya, minimum RM2,” katanya yang bakal menyambut Aidilfitri di rumah keluarga isterinya, Elyia Ibrahim di Melaka pada tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI