fbpx

Bekalan air di beberapa kawasan di Manjung kembali pulih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk mengambil bekalan air bersih disalurkan pasukan bomba di pekarangan premis pasukan itu di Seri Manjung, petang semalam. - Foto ihsan bomba.

LUMUT – Bekalan air bersih kembali pulih di beberapa kawasan di daerah Manjung secara berperingkat mulai pagi ini, selepas dua hari mengalami masalah gangguan bekalan utiliti tersebut.

Gangguan bekalan berlaku apabila paip yang menyalurkan bekalan air ke daerah itu dan daerah Perak Tengah, terputus akibat kejadian pergerakan tanah di Loji Rawatan Air (LRA) Teluk Kepayang, Bota, kelmarin.

Jurutera Kerja Kanan Operasi Lembaga Air Perak (LAP), Ahmad Termizi Mohd. berkata, bekalan tersebut kembali pulih selepas LRA Teluk Kepayang sudah boleh beroperasi pada kadar 30 peratus hari ini.

Menurutnya, bekalan air disalurkan dahulu ke kolam takungan Seri Manjung yang mempunyai bilangan akaun besar dan mengagihkan air ke kawasan berhampiran seperti Lumut dan Pulau Pangkor.

“Jadi, ada beberapa kawasan di Manjung yang sudah dapat bekalan air walaupun sedikit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ujarnya, kerja-kerja membaiki paip yang rosak dan terputus sedang dilakukan dengan LAP akan terus menghantar lori tangki bekalan air ke kawasan terjejas sehingga situasi itu pulih sepenuhnya.

Semalam, akhbar ini melaporkan sebanyak 79,360 akaun bekalan air di daerah Manjung dan Perak Tengah mengalami gangguan bekalan air sejak tengah hari kelmarin selepas paip bagi menyalurkan air tersebut terputus. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI