fbpx

Si cilik lengkap solat tarawih 20 rakaat dapat mainan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanak- kanak gembira menunjukkan hadiah istimewa yang diterima daripada pihak pengurusan Masjid Kapitan Keling di George Town malam tadi.

GEORGE TOWN – Lebih 10 kanak-kanak kariah Masjid Kapitan Keling di sini teruja menerima hadiah berupa barangan mainan setelah berjaya melengkapkan 20 rakaat solat tarawih selama 10 hari bermula 1 Ramadan lalu.

Setiausaha Masjid Kapitan Keling, Mohamed Rizdwan Abdul Ghafoor Khan berkata, hadiah tersebut merupakan inisiatif yang diambil oleh pihak pengurusan masjid tertua di negeri ini bagi menarik minat kanak-kanak mendekati masjid sepanjang Ramadan.

“Hadiah berupa barangan permainan ini diberikan kepada kanak-kanak yang datang menunaikan solat tarawih sebanyak 20 rakaat selama 10 hari. Mereka yang menerima hadiah amat teruja serta gembira dengan hadiah ini yang diberikan sebagai motivasi kepada mereka.

“Hadiah ini juga adalah galakkan untuk mereka meneruskan solat tarawih yang berbaki 20 hari lagi serta mengumpul dua lagi hadiah istimewa daripada pihak masjid,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, pada 1 Ramadan lalu, pengurusan Masjid Kapitan Keling mengedarkan kad khas kepada lebih 40 kanak-kanak sebagai galakan untuk mereka menunaikan solat tarawih sebanyak 20 rakaat sepanjang Ramadan.

Kanak-kanak yang telah melengkapkan solat tarawih 20 rakaat perlu mendapatkan cop daripada Pengerusi masjid, Faruk Raja Mohamed setiap kali selesai menunaikan solat tarawih.

Menurut Mohamed Rizdwan, terdapat dua lagi hadiah yang masih berbaki untuk diberikan kepada kanak-kanak yang berjaya melengkapkan 20 rakaat solat tarawih.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI