PONTIAN – Kegembiraan menyambut 1 Syawal yang bakal diraikan umat Islam tidak lama lagi mungkin tidak dapat dirasai oleh seorang wanita apabila dia kehilangan lima insan tersayang hanya dalam tempoh 24 jam.
Menurut Sopiah Roz, 57, empat daripada ahli keluarganya meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Jalan Parit Semerah–Parit Kudus di sini, pada pukul 5 petang kelmarin, manakala seorang lagi menemui ajal akibat terjatuh di dalam bilik air.
Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) itu berkata, empat ahli keluarganya yang terlibat dalam kemalangan ialah suami tercinta, Jamaludin Abd. Wahab, 58, selain anak, Muhamad Shah Rizal Jamaludin, 22; adik bongsu, Muhamad Nor Azlan Roz, 28, dan adik ipar, Mohd. Faizal Saari, 35.
Katanya, nahas maut itu berlaku selepas mereka yang datang dari Tapah, Perak, menziarahi adiknya, Baharuddin Roz, 41, yang meninggal dunia akibat terjatuh di bilik air dalam kejadian awal pagi kelmarin di kampung di Pontian.
“Selepas dapat berita mengenai kejadian yang menimpa Baharuddin, saya dan suami serta anak kami iaitu Muhamad Shah Rizal kemudian segera bergerak ke Pontian untuk menziarahi arwah.
“Kami sempat sampai ke rumah dan menyelesaikan urusan pengebumian. Selepas itu, suami dan anak serta adik dan adik ipar keluar bersama-sama menaiki sebuah Proton Saga,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pontian (HP) di sini semalam.
Menurut Sopiah, dia sendiri tidak pasti sama ada suami dan anaknya keluar rumah untuk membeli juadah berbuka puasa ataupun ke tempat lain.
“Saya cuba hubungi suami beberapa kali, namun panggilan telefon tidak dijawab. Selepas itu, saya terkejut apabila panggilan berkenaan dijawab oleh seorang anggota polis.
“Anggota berkenaan memaklumkan kenderaan yang suami dan anak naiki terlibat dalam kemalangan,” ujarnya.
Kata Sopiah, suaminya yang turut bertugas sebagai anggota Rela tidak menunjukkan sebarang perubahan dan arwah juga sangat teruja untuk pulang ke Pontian selepas mengetahui mengenai kematian Baharuddin.
Menurut Sopiah lagi, anaknya, Muhamad Shah yang berkerja sebagai pengawal keselamatan meninggalkan seorang isteri, Siti Zulaikha Bah Seni, 20, dan seorang anak perempuan berusia setahun.
“Muhammad Nor Azlan pula berlainan ibu dengan saya dan dia masih bujang.
“Ramai keluarga yang pulang ke kampung termasuk dari Kedah dan Perak untuk sama-sama menziarah Allahyarham Baharuddin,” tambahnya.
Beliau menambah, jenazah Muhamad Nor Azlan dan Mohd. Faizal Saari dikebumikan di Gombak, Kuala Lumpur semalam, manakala jenazah suami dan anaknya pula dikebumikan di Tapah, Perak.
Ditanya mengenai sambutan Aidilfitri yang bakal diraikan tidak lama lagi, Sopiah mengakui kehadiran 1 Syawal tahun ini pasti berbeza dan suram.
Katanya, ini kali pertama dia akan meraikan hari bahagia itu tanpa suami dan anak lelaki.
“Secara jujurnya, Aidilfitri kali ini sangat suram, tidak seronok seperti sebelum ini, namun saya perlu reda dan terima takdir ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, kemalangan kira-kira pukul 5 petang itu melibatkan dua buah kereta iaitu Proton Saga yang dinaiki keempat-empat mangsa dan Proton Perdana.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta mangsa dari arah Parit Semerah menuju Parit Kudus, manakala Proton Perdana berkenaan dari arah bertentangan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, Proton Saga yang dinaiki empat sekeluarga itu dipercayai hilang kawalan dan bertembung dengan Proton Perdana sebelum kenderaan itu terjunam ke dalam parit.
“Kesemua mangsa tersepit di dalam Proton Saga tersebut yang mana pemandu dan dua penumpang mengalami kecederaan di kepala, tangan dan kaki dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Seorang lagi penumpang iaitu Mohd. Faizal Saari mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital.
“Pemandu Proton Perdana iaitu Danny Tauh, 20, turut dilaporkan cedera dan dirawat di Hospital Pontian,” katanya.
Tambah Mohammad Shofee, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca selepas pemandu Proton Saga gagal mengawal kenderaa sehingga memasuki laluan bertentangan.














