GEORGE TOWN – Trend mengubah wajah bukan sahaja dilakukan golongan berduit, malah ia kini menjadi ikutan dalam kalangan suri rumah Islam yang sanggup menggunakan wang simpanan untuk kelihatan cantik dan menawan bagi meningkatkan keyakinan diri.
Sebahagian mereka ‘gila’ untuk mengubah saiz hidung, meruncingkan dagu, tulang pipi, membesarkan bibir dan kelopak mata serta menukar warna kulit yang dilakukan melalui suntikan.
Mereka yang ditemui Kosmo! mengaku sanggup menghabiskan wang simpanan termasuk daripada Skim Pemisahan Sukarela, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), keuntungan berniaga online dan nafkah bulanan suami untuk kelihatan menawan.
Seorang suri rumah dikenali sebagai Shu, 46, berkata, dia menghabiskan wang simpanan RM2,000 sebulan untuk mendapatkan rawatan suntikan pemutihan kulit sejak dua tahun lalu.
Katanya, untuk cantik, dia sanggup ‘bersakit’ demi mengikut trend bagi mendapatkan kulit yang cantik, puith dan gebu berbanding warna asal iaitu gelap.
“Saya sanggup keluarkan RM250 seminggu untuk mendapatkan suntikan pemutihan kulit selama empat kali diikuti rawatan susulan setiap dua minggu sekali.
“Setahun saya telah menghabiskan RM10,000 untuk kekal putih dan gebu. Kesannya dilihat dalam masa dua minggu dan ia membuatkan saya lebih yakin dan kekal muda selain mendapat pujian suami,” katanya.
Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, suaminya yang merupakan peniaga dan rakan-rakan turut memberi sokongan dan dorongan selain mereka turut melakukan rawatan sama.
Tambahnya, dia bukan tidak peduli larangan agama tetapi tidak tahu perbuatan itu haram.
“Semuanya ikut kemampuan. Hendak cantik memang kena tanggung kesakitan,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga produk kecantikan online yang mahu dikenali sebagai Reen, 49, memberitahu, dia memilih suntikan pada pipi dan bibir atas sebab faktor usia yang semakin meningkat dan perubahan hormon.
“Semuanya terpulang kepada diri sendiri dan ikut kemampuan. Saya percaya, mereka yang berduit juga akan melakukan perkara sama jika ada peluang.
“Biar cantik dahulu. Jika sudah tahu ia perbuatan haram, berhentilah berbuat demikian. Dosa, pahala pada diri masing-masing,” katanya.
Ujar Reen, kerjayanya sebagai penjual produk kecantikan memerlukannya berdepan dengan orang ramai dan dia perlu meningkatkan keyakinan diri selain menjadi contoh kepada orang lain.
Dalam pada itu, penjual produk kecantikan, Alya Jebat berkata, krim pemutih dan penjagaan wajah merupakan barangan paling laris ketika ini dibeli oleh para isteri.
“Selepas pandemik, ramai beli sabun pencuci, set krim siang malam, suplemen serta kalogen.
“Pelanggan meningkat 80 peratus sejak Januari tahun ini sehingga saya boleh dapat 40 orang. Memang tak menang tangan uruskan tempahan hingga ada yang sanggup tunggu stok berminggu-minggu,” katanya.














