fbpx

Tradisi kari sepedeh sambut Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKTIVITI memasak juadah kari sepedeh bertujuan mengeratkan ukhuwah sesama insan.

MASYARAKAT Kabupaten Mukomuko di Bengkulu, Indonesia mempunyai satu amalan tradisi turun-temurun apabila menyambut ketibaan Ramadan dan Syawal iaitu memasak kari sepedeh.

Juadah tersebut dihasilkan menerusi gabungan daging kerbau dengan rempah-rempah tertentu yang dimasak sehari sebelum ketibaan Ramadan dan Syawal.

Menurut Kepala Suku Melayu Kecik di Desa Sungai Ipuh, Kecamatan Selagan Raya, Kabupaten Mukomuko, Muhammad Nizar, tradisi tersebut merupakan amalan turun-temurun dari nenek moyang yang bertujuan mengeratkan ukhuwah sesama manusia.

“Sehari sebelum puasa, penduduk Kampung Sungai Ipuh akan mengadakan tradisi menyembelih kerbau.

“Daging berkenaan akan diagihkan kepada masyarakat di kampung tersebut.

“Adat ini melambangkan kegembiraan penduduk setempat yang kebanyakannya beragama Islam apabila menyambut kehadiran bulan mulia.

“Tradisi serupa juga akan diulang sehari sebelum tibanya Hari Raya Aidilfitri bagi memeriahkan suasana,” katanya.

Tambahnya lagi, tradisi tersebut juga merupakan tanda kesyukuran memasuki bulan baik yang sangat dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia.

Setiap tahun, penyembelihan haiwan dilakukan selepas solat zuhur dengan memilih kerbau yang terbaik dan kesihatannya terjamin.

Penyembelihan kerbau dilakukan di padang dan proses penyembelihannya disaksikan oleh penduduk kampung.

Ini kerana selepas kerbau disembelih, dagingnya akan terus dibahagikan kepada orang ramai.

Sistem agihan daging bukan berdasarkan harga tetapi dibahagikan mengikut bilangan penduduk kampung.

Jumlah longgokan daging biasanya akan dibahagikan sama dengan bilangan ketua keluarga di kampung tersebut.

Selepas daging dibahagikan, ia akan dibawa pulang ke rumah masing-masing.

Kemudian, penduduk akan segera melakukan aktiviti sama iaitu memasak gulai sepedeh.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan, Nurbaiti memberitahu, orang kampung di situ secara umumnya sudah biasa dengan masakan santan, tetapi kari sepedeh sedikit berbeza.

AKTIVITI penyembelihan kerbau dilakukan secara gotong-royong oleh masyarakat Kabupaten Mukomuko di Bengkulu, Indonesia.

“Sepedeh bermaksud kari tanpa lemak atau santan walaupun masakan penduduk tempatan sentiasa ‘melekat’ dengan santan,” katanya.

Walaupun tanpa santan, katanya, hidangan ini kaya dengan rempah-ratus.

“Rempah yang digunakan adalah cili, halia, lengkuas, bawang putih, bawang merah, daun limau purut, serai dan ketumbar,” jelasnya lagi.

Tambahnya, semua rempah ditumbuk kecuali bawang merah.

Rempah tumbuk itu segera dicampur dengan kepingan daging.

Proses memasak dimulakan dengan menumis bawang merah yang dihiris, sebelum memasukkan cili merah.

“Setelah terhidu aroma bawang goreng, campurkan daging kerbau yang telah dilumuri rempah yang telah dikisar tadi.

“Biarkan seketika sehingga daging mengeluarkan sedikit air.

“Selepas itu, masukkan air dan garam secukupnya. Kemudian, masak sehingga daging empuk,” jelasnya.

Katanya, kari sepedeh perlu dimasak dengan api sederhana dalam tempoh 45 hingga 60 minit.

Selain menu utama iaitu kari sepedeh, penduduk tempatan turut menyediakan makanan ringan lain sebagai pelengkap hidangan menyambut Ramadan.

Makanan ringan termasuk lemang, kuih lepek pendek yang diperbuat daripada tepung beras, ladu dan kuih daripada adunan tepung beras bersama gula merah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI