DARI sebelum Ramadan, sampailah Syawal yang bersisa sekitar dua minggu lagi, setiap hari ada sahaja kisah beremosi yang mengisi rentak hakiki jalan hidup semua orang.
Dalam dua bulan yang disifatkan paling mudah mencetuskan emosi ini, mudah juga setiap perkara mencapai tahap tular luar biasa macam lagu Alamak Raya Lagi.
Untuk yang ‘terpaling’ peka isu semasa pula, tiada satu pun topik tular dalam media sosial sekadar berlalu kosong depan mata, paling tidak dijadikan bahan sembang dalam grup WhatsApps atau Telegram.
Orang kita cuma ada dua perkara yang paling mudah dibeliakkan mata, satu tentang berita kecelakaan dahsyat dengan kehilangan nyawa dan keduanya, hal kecurangan atau skandal orang ternama.
Dalam beberapa hari ini, kouta dua bahan tersebut cukup.Satu kisah nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 nyawa dan kedua, ada pendedahan baharu, seorang wanita mengakui ada hubungan sulit dengan pelakon juga penyanyi popular, Aliff Aziz.
Dua kisah dengan dua latar emosi dan naratif berbeza itu menjadi percakapan hampir semua orang.
Kalau kisah Aliff dan wanita bernama Sarah Yasmine dijadikan bahan lawak, sindiran dan contoh tidak baik yang boleh dibuat sempadan, video-video menyayatkan hati dari Lumut pula ada yang terpaksa dikeluarkan amaran agar tidak disebarkan bagi menjaga kehormatan dan sensitiviti keluarga mangsa.
Dari satu sudut pandangan yang lain. Kita semua penerima dan penyebar maklumat. Di sebalik keterbiasaan memikul peranan tersebut, sedarkah kita tentang nilai tanggungjawab? Ada orang, masuk ke mata turun ke hati.
Ada orang lain pula, setiap maklumat yang diketahui hanyalah satu daripada rutin, macam makan jajan, masuk ke tubuh tiada khasiat, malah mungkin boleh memudaratkan.
Ya, sebagai konten untuk sengaja berada dalam bingkai cerita atau untuk tujuan penjenamaan diri atau ‘self branding’ atau pengukuhan pengaruhnya, baik sebagai penulis, peniaga, pempengaruh atau ahli politik. Anda pula yang mana?
Menjadi ahli media sosial adakalanya satu tanggungjawab dan kemaruk. Tanggungjawab mungkin kerana kerjanya tidak boleh lari daripada kuasa media sosial naik dari segi penjenamaan atau jualan.
Kalau itu alasannya, silakan, namun kalau niat untuk sekadar kemaruk cerita dan mahu sekadar berada dalam situasi dan menunjuk tahu belaka, sila kurangkan amalan tersebut kerana anda sedang diperhatikan.
Niat adakalanya boleh dibaca walaupun tidak diperjelas secara harafiah.
Cuma dalam kes suka berkongsi keterpesongan dan seolah-olah bangga menjadi sebahagian daripada kebodohan yang langsung tiada kemaslahatan, malah menambahkan minyak ke api marak seperti yang dilakukan wanita berkening halus bernama Suraya Yasmine terhadap Ruhainies, Aliff dan Bella Astillah, tak perlu dijadikan ikutan.
Sikap suka membuat pengakuan dan perkongsian yang berisiko lebih banyak membawa kecelakaan berbanding kebaikan perlu dijauhkan.
Untuk semua orang, cukup-cukuplah beri alasan bukan untuk mengeruhkan lagi keadaan tetapi bongkar segala luar dalam, itu pura-pura namanya. Kita semua jangan tertipu dengan kebodohan lakonan ‘mereka’ di dalam media sosial ini.














