fbpx

Nenek tidak malu kayuh basikal kutip tin kosong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR AISYAH (kiri) menunjukkan tin kosong yang dikutip bersama anak dan cucu lelaki ketika ditemui di rumahnya di Kampung Keda Che Bema di Sungai Petani baru-baru ini.

SUNGAI PETANI – Ketika keluarga lain bergembira dengan kehadiran Ramadan, nasib sebaliknya dilalui seorang isteri yang terpaksa membanting tulang bagi menyara keluarganya.

Wanita berkenaan, Nur Aisyah Abdullah, 56, dari Kampung Keda Che Bema di sini berkata, kehidupan keluarganya tidak pernah berubah dan kehadiran Ramadan biasanya disambut agak suram sejak tiga tahun lalu.

Katanya, semua itu berlaku selepas suaminya yang menjadi tulang belakang keluarga me­ngalami masalah kesihatan akibat kemalangan sehingga memaksa dia keluar bekerja.

Beliau yang merupakan seorang mualaf melakukan pelbagai kerja termasuk mencari pokok nipah untuk dibuat rokok daun selain mencari barang-barang terbuang untuk dijual.

Malah, kisah wanita itu mencari barang-barang terbuang bersama anak perempuan dan cucunya sehingga lewat malam turut viral di media sosial sejak beberapa hari lalu.

“Saya tak rasa bersalah atau malu untuk melakukan kerja-kerja ini kerana ia merupakan punca rezeki yang halal, malah lebih baik daripada meminta sedekah di kaki lima.

“Pada saya, Ramadan seperti bulan lain juga kerana saya perlu terus berikhtiar untuk menyara keluarga termasuk mencari barang terbuang seperti tin minuman, botol, plastik, kotak atau apa sahaja barang yang boleh dijual.

“Biasanya,setiap petang hingga ke lewat malam, saya akan dite­mani anak, Nurul Hidayah Abdullah, 26, dan cucu Farhani Abdul Rahim, 2. Kami akan berbasikal untuk mencari barang-barang terbuang,” katanya di sini semalam.

Ujarnya, dia kini tinggal bersama suami, Nordin Sarfan, 68, selepas berpisah dengan suami pertama lebih 10 tahun lalu.

“Selain Nurul Hidayah, saya mempunyai dua lagi anak lelaki berumur 23 dan 24 tahun, tetapi mereka tidak dapat membantunya kerana bekerja sendiri,” jelasnya.

Katanya lagi, selain melakukan kerja kampung, dia juga mengambil upah membasuh pinggan di kedai makan.

“Memandangkan kedai makan tutup pada Ramadan, jadi saya beralih dengan mencari barang terbuang untuk dijual sebagai sumber pendapatan.

“Kami dua beranak akan mengayuh basikal sehingga Tanjung Dawai bagi mengutip bahan terbuang di sepanjang jalan sebelum membawanya pulang untuk dikumpul sebelum dijual keesokan harinya,” katanya.

Menurut Nur Aisyah, purata pendapatan hariannya ialah antara RM10 ke RM20 dan de­ngan wang itulah dia menyara hidup mereka sekeluarga selama ini.

“Dahulu saya pernah me­nerima bantuan bulanan daripada agensi kerajaan tetapi telah diberhentikan tanpa diketahui sebabnya.

“Sumbangan daripada individu yang prihatin juga diterima selama ini tetapi disebabkan tidak mencukupi, saya terpaksa mengerah tenaga berbasikal sehingga ke malam untuk mencari bahan terbuang,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI