fbpx

Azeem tuai emas 100m di bumi Amerika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM berjaya meraih pingat emas dalam acara 100m buat kali pertama di bumi AS sejak tiba di negara tersebut Januari lalu.

Bintang sensasi remaja negara, Muhammad Azeem Fahmi memperagakan aksi cemerlangnya di bumi Amerika Syarikat (AS) sejurus menjuarai acara 100 meter (m) ketika bersaing pada Kejohanan Florida State University (FSU) Relays, awal pagi semalam.

Azeem yang mewakili Universiti Auburn pada kejohanan tersebut menamatkan perlumbaan dalam catatan masa 10.32 saat (s) sekali gus berjaya mengatasi sembilan pelari pecut lain di Mike Long Track, Tallahassee, Florida itu.

Tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh Andre Ewers (10.49s) dari Florida State University, manakala Trei Thorogood yang Syracuse University menamatkan saingan tempat ketiga dengan catatan 10.51s.

“Tidak begitu teruk, 10.32s pada aksi pembuka musim,” kata Azeem dalam media sosial miliknya semalam.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada pelari berusia 18 tahun dari Perak itu kerana ini kali pertama Azeem beraksi dalam acara 100m pada kejohanan luar dewan sejak tiba di AS, Januari lalu.

Pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09s itu sebelum ini membuat tiga penampilan dalam acara 60m dalam dewan.

Bulan lalu, Azeem memecah rekod kebangsaan 60m lelaki dalam dewan miliknya sendiri pada Kejohanan Jemputan Tiger Paw di University Clemson di South Carolina.

Terdahulu, Azeem memecahkan rekod kebangsaan selama 24 tahun milik Watson Nyambek 6.66s yang dilakukan di Kejohanan Dunia di Maebashi, Jepun pada Mac 1999.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI