KIRA-KIRA dua dekad lalu, UMW Toyota Motor telah melancarkan model sedan segmen B, Vios untuk pasaran di Malaysia.
Sejak itu, model berkenaan menjadi popular kerana mendapat sambutan yang menggalakkan.
Pada 2007, generasi kedua pula dilancarkan dengan rekaan yang agak bulat sehingga diberi gelaran ‘dugong’.
Ketika itu, empat varian ditawarkan iaitu, J, E, G dan S. Varian S kemudian digantikan dengan TRD Sportivo sebagai pilihan kepada para pembeli.
Model ‘dugong’ juga telah dipertingkat pada 2010 dengan kemasan dan aksesori lebih menarik.
Selain itu, ia ditawarkan dengan varian tambahan seperti G Limited.
Pada 2013, generasi ketiga Vios diperkenalkan dan sepanjang sepuluh tahun ini sudah tiga kali versi dipertingkat diperkenalkan.
Bagaimanapun, ia tetap mendapat sambutan walaupun pesaing-pesaing terdekat menawarkan kereta dengan nadi enjin lebih berkuasa.
Isnin lalu, bertempat di M Resort Hotel, Kuala Lumpur, UMW Toyota Motor melancarkan model generasi keempat Toyota Vios.

Ia merupakan sedan subkompak popular paling laris dalam pasaran kereta bukan nasional di Malaysia.
Penulis difahamkan sejak diperkenalkan pada tahun 2003, sudah lebih setengah juta unit Toyota Vios terjual di pasaran Malaysia.
Model baharu ini menawarkan dua varian dengan prestasi lebih baik, pecutan lebih pantas dan teknologi baharu.
Ini menjadikan Toyota Vios sebagai pilihan lebih menarik kepada pelanggan yang sedang mencari kereta boleh dipercayai, cekap dan mampu milik.
Toyota Vios ini menggunakan enjin 1.5 liter DOHC Dual VVT-i yang telah dipertingkatkan dan transmisi tujuh kelajuan CVT dengan Sequential Shiftmatic.
Kombinasi ini memberikan pecutan lebih tangkas, selain meningkatkan lagi tahap kecekapan bahan api.
Kombinasi itu juga mampu menawarkan kuasa maksimum 106PS dan tork tertinggi pada 138Nm.

Kereta ini dikilangkan di Assembly Services Sdn. Bhd. (ASSB) di Bukit Raja, Klang, Selangor. Ia juga memenuhi standard kualiti di seluruh rantaian proses pemasangan yang cekap sejajar dengan ‘Toyota Way’.
Toyota Vios menjadi kenderaan pertama di negara ini yang menggabungkan teknologi terkini ketika proses pemasangan.
Menggunakan Ultra High Tensile Materials, Continuous Frame Design dan Increased Welding Spots, teknologi tersebut membantu memberikan ketegaran bahan kereta yang lebih tinggi, selain mengurangkan jisimnya.
Ruang enjin juga direka semula bagi mengurangkan titik putus bentuk dan beratnya.
Dari segi rekaan luaran, pada bahagian hadapan, model ini menggunakan lampu utama jenis LED dengan menawarkan ciri-ciri follow me home dan auto high beam.
Pada bampar hadapan, corong aerodinamik yang membantu menyejukkan sistem brek serta memberikan pengendalian dan stabiliti lebih baik. Untuk varian G, ia menggunakan rim tayar bersaiz 17 inci.
Lampu belakang juga hadir bersama lampu isyarat sequential dan diffuser belakang dan air canards.

Masuk ke ruang kabin, Toyota Vios ini hadir dengan panel meter TFT bersaiz tujuh inci, sistem infotainment bersaiz sembilan inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas tanpa wayar, pot pengecas pantas, parkir brek elektronik, 64 warna ambient dan corong pendingin hawa untuk penumpang belakang.
Ciri-ciri keselamatan Toyota Safety Sense (TSS) ditawarkan menerusi penggunaan teknologi termaju kepada pemandu dan penumpang.
TSS memberi amaran kepada pemandu mengenai bahaya dan bertindak balas secara autonomi bagi mencegah atau mengelakkan pelanggaran.
Pemandu juga akan dapat menikmati paparan gred tinggi dan keselesaan yang lebih baik dengan tempat duduk hadapan direka bentuk semula untuk posisi pemanduan selesa serta sokongan lebih baik.
Toyota Vios ini hadir dengan tawaran waranti lima tahun dan perbatuan tanpa had. Pemilik juga akan menikmati perkhidmatan 24SEVEN Road Assist dan langganan percuma selama tiga tahun Toyota Vehicle Telematics System yang akan memantau lokasi kereta pada setiap masa.
Penulis melihat Toyota Vios generasi keempat ini lebih kepada ‘sporty look’ dengan rekaan ‘fastback’ menerusi corong udara sebenar di bampar depan, menggunakan rim bersaiz 17 inci dan beberapa tawaran menarik.
Penulis menjangkakan model ini akan mendapat sambutan kerana faktor kepercayaan kepada jenama, sedap mata memandang, di samping pengalaman pemanduan lebih baik dan menyeronokkan.














