fbpx

Beri syarat tinggal sebumbung, Wak Doyok okey dilabel ‘anak emak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIDAK kisah dilabel sebagai anak emak, Wak Doyok meletakkan ibunya sebagai keutamaan berbanding semua hal lain.

KUALA LUMPUR – Enggan memenuhi syarat tinggal sebumbung antara punca wanita yang diperkenalkan personaliti fesyen dan pelakon, Wak Doyok kepada ibunya sebagai calon isteri terpaksa ditolak.

Katanya, dia tidak rela meneruskan hubungan dibina daripada membiarkan insan kesayangan tinggal sendirian andai calon isteri enggan menjaga ibunya selepas mereka berkahwin nanti.

Hal ini kerana, walau apa pun alasannya, ibu merupakan keutamaan pemilik nama sebenar Mohd. Azwan Mohd. Nor itu.

“Sebagai anak bongsu ikatan antara kami sangat rapat. Emak pun sudah mencecah usia 80-an, jadi saya letakkan syarat mana-mana wanita yang dapat tinggal sebumbung saja dapat dijadikan isteri.

“Kalau tidak bersetuju, memang saya tak dapat berbuat apa-apa. Bukan tak sedih, tetapi tanggungjawab menjaga kebajikan emak melebihi segala-galanya.

“Saya tak kisah orang cop saya anak emak atau sebagainya. Paling penting ketika dia masih ada saya mahu berbakti dan menggembirakan hidupnya,” katanya kepada Kosmo! Online.

Wak Doyok, 41, berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen membeli sambil beramal Starvilion Laskar Raya 2023 yang menampilkan Datuk Adi Putra dan Nora Danish dilantik selaku duta.

Sementara itu, menyentuh mengenai kerjaya seni, pelakon Nasi Lemak 1.0 itu mengakui masih teringin meneroka beberapa watak yang belum pernah dibawakan sebelum ini.

Katanya, lakonan bukan sekadar batu loncatan untuk terus diingati ramai tetapi antara kembara dalam mengutip pengalaman sebagai penggiat seni.

“Saya masih mahu berlakon sebab perkara ini antara pekerjaan yang mencabar. Saya berpeluang menjadi individu lain.

“Kalau boleh saya ingin mencabar diri membawakan pelbagai watak lain yang tentu saja menjadi bukti bahawa saya serius dalam bidang ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI