fbpx

KPDN pantau harga makanan di bazar Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salahuddin

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negara dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melakukan pemantauan di bazar Ramadan seluruh negara bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga makanan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pemantauan itu akan dilakukan dari semasa ke semasa menerusi beberapa siri operasi antaranya Ops Tiris, Ops Terjah dan Ops Menu.

“Berdasarkan data daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dan tinjauan sendiri pegawai penguat kuasa, kita dapati ada beberapa peniaga yang kita ambil tindakan. Namun, ia masih dalam kadar yang minimum.

“(Untuk bazar Ramadan) kita akan beri nasihat supaya mereka letakkan tanda harga. Tapi kalau ada kes-kes yang berlakunya isu pencatutan, kita akan mengambil tindakan yang tegas. Itu kita tidak boleh kompromi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Pelancaran LuLu Hypermarket sertai inisiatif Payung Rahmah dengan Pelancaran Jualan Rahmah, Menu Rahmah dan Pakej Rahmah, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, bekalan sayur untuk musim perayaan termasuk Ramadan dan Aidilfitri dijamin mencukupi.

“Saya juga menyaksikan hari ini antara barang-barang yang menjadi perhatian rakyat adalah sayur-sayuran.

“Berdasarkan tinjauan penguat kuasa KPDN ke Cameron Highlands semalam, kita dapati insya-Allah bekalan sayur mencukupi untuk musim perayaan. Bekalan itu sebagai contoh barang-barang kritikal seperti tomato dan kacang panjang,” ujarnya.

Kata beliau, harga bagi beberapa jenis sayuran juga akan dimasukan ke dalam skim harga maksimum dan akan diumumkan dalam beberapa minggu lagi.

Mengulas mengenai LuLu Hypermarket, Salahuddin berkata, lebih 216 barang-barang pilihan termasuk barangan keperluan asas diberikan tawaran harga Rahmah dan juga Pakej rahmah dengan penjimatan sehingga 70 peratus yang akn berlangsung serentak di semua enam cawangan seluruh negara sehingga 1 Mei ini.

Lebih menarik, katanya, LuLu Hypermarket juga menawarkan Pakej Rahmah Premium yang mempunyai sebanyak 16 belas barangan sekali gus membolehkan rakyat berjimat sehingga RM30. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI