fbpx

Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan selamat menyambut Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ucapan yang dimuatnaik di laman Facebook Istana Negara, malam ini.

PETALING JAYA – Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi Istana Negara memaklumkan, bersempena ketibaan bulan Ramadan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menyeru seluruh umat Islam mengaut keberkatan di bulan yang mulia ini untuk meneguhkan lagi ketakwaan dalam diri dan menggandakan ibadah serta amalan.

“Justeru, perbanyakkan ibadah-ibadah sunat dan amalan-amalan kebajikan serta memperkukuhkan lagi ukhuwah sesama insan di samping meninggalkan segala perbuatan yang sia-sia dan merugikan. Semoga kita dapat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan dengan sempurna supaya dapat digolongkan bersama orang-orang yang bertakwa di sisi Allah S.W.T.

“Syiar Ramadan sesungguhnya bertujuan untuk melahirkan manusia bertakwa sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Taala dalam surah al Baqarah ayat 183 yang bermaksud: ‘Wahai orang-orang yang beriman, difardukan ke atas kamu ibadah puasa sebagaimana difardukan ke atas umat-umat sebelum kamu mudah-mudahan kamu menjadi golongan yang bertakwa (kepada Allah)’,” kata kenyataan itu malam ini.

Menurut kenyataan itu, Seri Paduka Baginda turut menasihati rakyat supaya dalam mengejar pahala adalah amat penting tidak mensia-siakannya dengan pembaziran makanan yang mana sisa makanan menjadi penyumbang terbesar pada bulan Ramadan terutama daripada ketika berbuka puasa.

“Perkara ini bertentangan dengan hakikat Ramadan yang seharusnya menjadi bulan yang mendidik umat Islam supaya bersederhana dan tidak membazir. Apatah lagi terdapat larangan keras terhadap perbuatan boros dan membazir seperti firman Allah Subhanahu wa Taala menerusi ayat 27 Surah al-Isra’ bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” tambah kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan semoga kehadiran bulan yang mulia ini turut disambut dengan rasa insaf dan syukur atas ujian, rahmat serta nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T

“Seri Paduka Baginda berdua mengajak seluruh umat Islam mengambil keberkatan Ramadan untuk bersama Baginda berdua mendoakan semoga Malaysia terus dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman dan musibah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI