fbpx

LZS agih zakat lebih RM30 juta kepada 65,000 ketua keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Sabirin (kiri) bergambar bersama asnaf pada Program Simbolik Bantuan Ramadan dan Hari Raya 2023 di Kolej Vokasional Gombak, Selangor. - Foto oleh SADDAM YUSSOF/ KOSMO!

GOMBAK – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan zakat berjumlah RM30,069,600 kepada 65,000 ketua keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf bagi menyambut Ramadan dan Syawal pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM9,051,650 diagihkan kepada 18,550 golongan fakir miskin, RM19,399,050 bagi 41,770 asnaf miskin dan RM1,618,900 melibatkan 4,499 asnaf mualaf.

Katanya, setiap penerima dapat bantuan zakat di antara RM300 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan sesebuah keluarga.

“Bantuan tersebut disalurkan mulai hari ini melalui pembayaran yang dikreditkan ke akaun bank penerima atau menggunakan kaedah baucar tunai mahupun serahan tunai.

“Penerima bantuan yang layak akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau surat.

“Selain itu, mereka juga boleh membuat semakan status bantuan secara atas talian di ezo.zakatselangor.com.my,” katanya kepada pemberita selepas Program Simbolik Bantuan Ramadan dan Hari Raya di Kolej Vokasional Gombak di sini hari ini.

Simbolik penyerahan bantuan tersebut disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid kepada 10 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Menurut Mohd. Sabirin, daerah Petaling mencatatkan jumlah agihan zakat tertinggi pada tahun ini melibatkan peruntukan sebanyak RM5,593,750 kepada 11,799 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf.

“Ia diikuti daerah Klang iaitu 11,743 orang (RM5,447,950) dan Hulu Langat seramai 9,415 orang (RM4,433,400), Kuala Selangor seramai 6,979 orang (RM3,178,950), Gombak berjumlah 6,775 orang (RM3,161,250) dan Hulu Selangor dengan 5,445 orang (RM2,454,550).

“Tiga daerah lain pula iaitu Sabak Bernam seramai 4,956 orang (RM2,183,400), Kuala Langat iaitu 4,708 orang (RM2,235,100) dan Sepang yang mencatatkan jumlah agihan sebanyak RM1,381,250 kepada penerima 2,999 terdiri daripada asnaf fakir, miskin dan mualaf,” ujarnya.

Tambahnya, pada bulan lalu, LZS turut menyalurkan peruntukan zakat sebanyak RM32,615,896 bagi membiayai persiapan persekolahan 67,798 anak asnaf fakir, miskin dan mualaf sesi persekolahan tahun ini.

Sementara itu, Mohd Sabirin berkata, LZS menyasarkan kutipan zakat RM1.2 bilion pada tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI