fbpx

Dewan Rakyat: Unjuran data hidroiklim bantu hadapi risiko banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Maklumat unjuran data hidroiklim sehingga tahun 2100 terutamanya data taburan hujan berupaya membantu perancangan dan kesiapsiagaan awal untuk mengurangkan risiko bencana banjir.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, unjuran data hidroiklim itu diperolehi melalui Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) iaitu NAHRIM-Hydroclimate Data Analysis Accelarator (NHyDAA) yang dibangunkan pada 2016.

“NHyDAA mengoptimumkan ‘output’ pemodelan hidroiklim untuk menentukan taburan hujan masa hadapan di Malaysia, seterusnya berupaya mengenal pasti terlebih awal kawasan berpotensi yang akan mengalami kejadian banjir di bawah senario perubahan iklim.

“Sebagai contoh, model unjuran hidro iklim NHyDAA berupaya mengesan unjuran episod hujan yang agak lebat di kawasan utara tanah air termasuk di kawasan Gunung Jerai pada Ogos 2021 dan kejadian banjir luar biasa yang melanda Semenanjung Malaysia khususnya di Lembah Klang dan Pantai Timur pada Disember 2021.

“Begitu juga dengan kejadian banjir puing yang berlaku pada 4 Julai 2022 di Kampung Iboi, Kupang di Baling, Kedah,” katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Che Alias Hamid (PN-Kemaman) berhubung sejauh mana penggunaan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dapat mengurangkan risiko bencana banjir pada masa akan datang.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga sedang dalam pembinaan secara berfasa sebanyak 526 stesen siren amaran banjir di seluruh negara.

“Stesen siren amaran banjir ini ditempatkan di lokasi ‘hotspot’ banjir seluruh negara sebagai sistem amaran awal di mana amaran banjir akan dikeluarkan kepada penduduk kawasan-kawasan yang bakal terjejas,” katanya.

Pecahan negeri-negeri bagi stesen siren tersebut ialah Perlis (12), Kedah (38), Pulau Pinang (27), Perak (28), Selangor (99), Kuala Lumpur (24), Negeri Sembilan (21), Melaka (13), Johor (45), Labuan (1), Kelantan (28), Terengganu (10), Pahang (40), Sarawak (23) dan Sabah (117). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI