KANGAR – Rata-rata rakyat Thailand yang membeli emas di negara ini memaklumkan barangan kemas di sini lebih berkualiti berbanding di negara mereka.
Itu merupakan salah satu daripada sebab mengapa pembeli dari negara jiran ‘menyerbu’ kedai emas yang terletak berhampiran sempadan selain rekaan dan corak emas yang unik.
Menurut seorang pekerja kedai emas yang mahu dikenali Mohd. Razali, 40-an, rekaan dan jenis emas yang dijual di negara jiran itu tidak sama dengan negara ini.
“Di Thailand, kebanyakan emas yang dijual adalah daripada gred 999 dan 965, manakala di negara kita lebih banyak pilihan seperti 916, emas ‘pound’ dan sebagainya.
“Nombor 965 menunjukkan barangan kemas itu mempunyai komposisi emas sebanyak 96.5 peratus dan selebihnya adalah logam lain,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, barangan kemas 965 yang mempunyai komposisi emas yang tinggi tetapi agak lembut dan sukar dibentuk untuk menjadikan coraknya menarik.
“Emas 965 yang banyak dijual di negara jiran agak lembut, sukar dibentuk untuk membentuk corak menarik selain upah juga agak tinggi kerana melalui proses yang agak rumit.
“Emas 916 yang banyak di negara kita pula sederhana keras dan lebih senang dibentuk untuk menghasilkan rekaan dan corak menarik. Mungkin rekaan dan corak unik itu menarik minat pembeli dari Thailand,” jelasnya.

Menurutnya, perbandingan dari segi warna pula, emas 965 warnanya agak pudar dan pucat, manakala warna emas 916 lebih menyerlah dan menarik.
Ketika ditanya adakah pembeli dari Thailand membeli dengan jumlah yang banyak, dia memberitahu, pengunjung dari Thailand lebih gemar untuk membeli untuk perhiasan diri sahaja.
“Kadang kala ada van pelancong Thailand yang singgah di sini, namun daripada 12 orang yang turun ke kedai, hanya seutas dua rantai emas yang dibeli.
“Saya percaya, mereka membeli untuk kegunaan sendiri kerana mereka mengukur saiz tangan mereka sebelum membuat keputusan untuk membeli. Tidak ada pula yang bertanya atau membeli dengan banyak,” katanya.
Difahamkan, jenis rantai leher atau tangan seperti corak lipan bara dan pintal tali adalah pilihan dan menjadi tumpuan penggemar barangan kemas dari Thailand.
Di Sungai Petani, Pengurus Kedai Emas Anuar, Syakir Marikah berkata, pelanggan dari Thailand, Myanmar dan Indonesia antara yang kerap mengunjungi kedai mereka.
Menurut Syakir, kebanyakan mereka merupakan peniaga kedai tomyam dan pekerja warga asing yang bekerja di sini.
Katanya, kebiasaannya mereka membeli barang kemas seperti rantai leher dan gelang sebagai perhiasan diri selain dijadikan simpanan aset untuk dibawa pulang ke negara mereka nanti.
“Seperti rakyat Malaysia, rantai leher dan gelang tangan jenis lipan antara rekaan yang digilai peminat emas warga asing.
“Biasanya mereka akan membeli barang kemas yang berharga lebih RM10,000 atau berat emas melebihi 50 gram,” katanya ketika ditemui semalam.
Tambahnya, terdapat juga pelanggan dari Thailand yang menukar (trade in) barang kemas yang dibeli di negara mereka dengan barang kemas di sini.
“Biasanya jenis emas bagi setiap negara adalah berbeza daripada segi mutunya.
“Barang kemas dari Thailand sebenarnya lebih bermutu tinggi kerana dibuat menggunakan emas 965 berbanding barang kemas 916 di Malaysia.
“Bagaimanapun, barang kemas dari Malaysia juga bernilai tinggi jika dijual di sana kerana mata wang negara kita yang rendah ketika ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














