fbpx

K2

Persoalan hukum mengajar muzik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UPAH diterima daripada mengajar seni muzik adalah harus selagi mana tiada unsur-unsur bercanggah nilai keislaman yang diterapkan dalam metod pengajaran. – GAMBAR HIASAN

Saya ingin bertanya tentang hukum bermain alat muzik dan mengajar muzik. Untuk makluman, saya mempunyai kerja tetap di sebuah syarikat swasta dan dalam beberapa tahun lepas saya mengajar muzik (instrumen gitar dan dram) sebagai kerja sambilan. Saya ingin tahu bagaimana hukum mengajar muzik kerana saya bimbang jika rezeki saya dalam bidang ini tidak halal.

Jawapan: Bermain alat muzik atau nyanyian merupakan salah satu cara manusia berhibur dan ia diamalkan zaman-berzaman sehingga ada yang menjadikannya mata pencarian pada zaman sekarang. Persoalannya adakah amalan ini dibenarkan dalam syarak?

Nyanyian sama ada dengan atau tanpa alunan alat muzik merupakan persoalan yang menjadi pendebatan hangat kalangan ulama sejak awal perkembangan Islam. Bagaimanapun mereka bersepakat nyanyian yang mempunyai unsur keji dan menyeru ke arah maksiat adalah haram.

Ulama berselisih pendapat pada masalah nyanyian. Bagi golongan yang mengharamkannya berhujahkan firman Allah SWT dalam Surah Luqman ayat 6: Dan di antara manusia itu ada yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu bahan olok-olokan. Mereka itu akan memperolehi azab yang menghinakan.”

Golongan ini menafsirkan perkataan lahwa al-hadith di dalam ayat ini sebagai nyanyian. Mereka juga berhujah dengan perihal orang-orang beriman berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Qasas ayat 55: Dan apabila mereka dengar perkataan yang tidak bermanfaat, mereka berpaling daripadanya.

Sementara golongan ulama yang mengharuskan nyanyian berhujah dengan hadis Aisyah RA yang berkata: Dua orang hamba wanita menyanyi dan Abu Bakar masuk (ke rumahku)dan berkata: Seruling syaitan di rumah Rasullullah SAW? Maka berkata Rasullullah: “Biarkan mereka sesungguhnya hari ini hari raya.”

Mereka juga telah berhujah dengan hadis diriwayatkan Imam Al-Bukhari dan Imam Ahmad bahawa Saidatina Aisyah pernah menghiasi seorang pengantin perempuan dan kemudian menyerahkannya kepada suaminya, seorang lelaki Ansar. Sewaktu menyerahkannya kepada lelaki itu, Rasullullah bersabda kepada Aisyah: “Wahai Aisyah, apakah tidak ada hiburan untuk mereka? Sesungguhnya masyarakat Ansar sukakan hiburan.” Hadis ini menjelaskan sikap Islam yang meraikan budaya serta tradisi pelbagai kaum dan cita rasa pergaulan mereka.

Berkenaan permasalahan alat muzik, pendapat paling masyhur dalam kalangan ulama fiqh terhadap alatan seperti gitar, gambus, biola, gendang, alat-alat yang ditiup dan sebagainya adalah haram.

Ada pandangan dari kalangan ulama bermazhab Syafie yang mengharuskan penggunaan kompang dalam majlis-majlis perkahwinan dan berkhatan. Al-Baghawi berpendapat adalah harus penggunaan alatan muzik sekiranya tidak ada bersamanya tarian.

Menurut Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din, tidak ada keterangan yang jelas daripada sunnah Rasullullah yang melarang penggunaan alat muzik selagi mana tidak mempunyai unsur arak, zina dan lain-lain daripada perbuatan dosa.

Pun begitu terdapat beberapa pendapat kontemporari seperti Dr. Yusof Al-Qardhawi dalam kitabnya Al-Islam Wa Al-Fann yang tidak mengharamkan alat muzik secara mutlak tetapi mengharuskannya secara bersyarat.

Mesyuarat panel Kajian Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke-17 telah membincangkan Kertas Kerja Garis Panduan Muzik, Nyanyian dan Lagu menurut Islam dan memutuskan bahawa sebarang bentuk muzik yang menimbulkan gerak-geri liar, lucah serta membawa kepada kelalaian yang sia-sia adalah haram.

Oleh demikian, kami lebih cenderung untuk diusahakan mencari alternatif lain jika mampu. Bagaimanapun kami berpandangan upah yang diterima daripada kegiatan mengajar seni muzik adalah harus selagi mana tiada unsur-unsur bercanggah dengan nilai keislaman yang diterapkan dalam metod pengajaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI