fbpx

SPRM bongkar penyelewengan sukuk RM596 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga suspek direman selama tiga hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan perjanjian sukuk bernilai RM596 juta.

Difahamkan, perjanjian itu bagi melaksanakan projek berkaitan pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Keempat-empat suspek lelaki berusia antara 40 hingga 55 tahun itu telah ditahan lewat petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Susulan itu, tiga daripada empat suspek tersebut telah direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 17 Mac.

Perintah itu dikeluarkan selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Sementara itu, seorang lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Menurut sumber, suspek-suspek berkenaan merupakan pengarah, ketua pegawai kewangan dan seorang pemegang saham bagi tiga buah syarikat yang terlibat secara langsung dalam membangunkan sistem berkenaan.

“Sukuk tersebut telah diuruskan oleh sebuah bank tempatan bagi membiayai projek berkaitan dan semua perbelanjaan serta hasil projek perlu dimasukkan ke dalam satu akaun khas ditetapkan.

“Bagaimanapun, akaun khas itu kemudiannya ditukarkan kepada akaun lain dipercayai sengaja diwujudkan pada awal 2022 disyaki bagi mengelakkan pembayaran semula prinsipal dan keuntungan kepada pemegang-pemegang sukuk,” katanya tadi.

Difahamkan, perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat dilantik telah dimeterai pada Julai 2011 dengan tempoh selama 12 tahun.

Sukuk itu dijangkakan mencapai tempoh matang pada Mei 2023.

Tindakan membenarkan syarikat terbabit untuk mewujudkan satu akaun lain akan menyebabkan kerugian jutaan ringgit terhadap pemegang sukuk.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut, namun enggan mengulas lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI