fbpx

Pulau belum tenggelam, tunggu ‘lampu hijau’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Brisan pelakon dan karyawan yang menjayakan karya sensasi, Pulau.

FILEM sensasi, Pulau garapan pengarah Euho menerima padah apabila 10 babak ‘panas’ dalam naskhah tersebut terpaksa dipotong susulan kontroversi yang berlaku sebelum ini.

Bagaimanapun penerbitnya, Fred Chong optimis untuk sekurang-kurangnya meraih kutipan sebanyak RM7 juta bagi filem terbitan syarikat WebTVAsia, My Way Pictures dan Filmforce Studio berkenaan.

Menurutnya, sebelum ini mereka hanya memperoleh 70 tayangan pawagam menerusi Skim Wajib Tayang, namun harapan kembali pulih apabila jumlahnya bertambah menjadi lebih 100 pawagam di seluruh negara.

Lebih membanggakan, Pulau juga berjaya menembusi pasaran Asia Tenggara. Setakat ini, filem berkenaan sah ditayangkan di dua buah negara iaitu Indonesia dan Singapura pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

Meskipun berdepan tentangan segelintir pihak disebabkan kontroversi yang tercetus sebelum ini, filem Pulau tetap berjaya menembusi pasaran luar negara seperti Indonesia dan Singapura.

Potong 10 babak demi PG13

“Untuk mendapatkan klasifikasi kategori PG13, 10 babak terpaksa dipotong. Pada mulanya, hanya dapat tayangan di 70 buah pawagam menerusi Skim Wajib Tayang.

“Saya ingin berterima kasih kepada pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) atas profesionalisme yang diberikan.

“Pihak pengedar berjaya mendapatkan tayangan di 127 pawagam. Cuma, apabila filem ini diharamkan di sebuah negeri, jumlah berkurang kepada 124 pawagam,” katanya pada sidang media tayangan perdana filem terbabit di GSC Starling, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Ditanya tentang rayuan berhubung pengharaman tayangan di Terengganu, Fred berkata, pihaknya masih sabar menunggu keputusan.

Kesan kontroversi sebelum ini, terdapat beberapa penaja menarik diri sekali gus merisikokan kerugian.

FILEM Pulau sentuhan pengarah Euho akan menemui penonton bermula 9 Mac ini.

“Kami masih berharap (diluluskan) sebab dah hantar rayuan seminggu lalu tetapi masih menunggu jawapan daripada kerajaan negeri.

“Kami tak boleh cakap soal kerugian tapi apa yang diharapkan, filem ini mendapat sambutan daripada penonton.

“Filem Pulau mempunyai mesej yang baik dan harus ditonton ramai walaupun berdepan beberapa siri kontroversi sebelum ditayangkan,” katanya.

Pada 9 Februari lalu, Majlis Perbandaran Kemaman, Terengganu menghantar sepucuk surat tidak membenarkan tayangan filem Pulau di negeri tersebut.

Keputusan dibuat atas alasan terdapat unsur keterlaluan yang tidak sesuai menjadi tontonan audiens.

Treler filem berkenaan dikecam hebat apabila memaparkan beberapa adegan panas dan keterlaluan yang dikatakan tidak sesuai untuk tontonan umum.

Pulau yang akan menemui penonton di pawagam bermula 9 Mac ini dijayakan pelakon hebat tanah air, seperti Amelia Henderson, Alif Satar, Ikmal Amry, Sabronzo dan Pui Yi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI