fbpx

Program GVC Kossan, Pantas bantu pembekal PKS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kuang Sia (kanan) dan Max menyempurnakan gimik Majlis Pelancaran GVC 'Pioneering the Alliance for Sustainable Supply Chains in Southeast Asia' di Auditorium Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, hari ini. - Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kossan rubber Industries Berhad (Kossan) bersama rakan kerjasama Pantas Software (Pantas) hari ini melancarkan Program Penghijauan Rantaian Nilai (GVC) bagi membantu pembekal perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam rantaian bekalan mereka.

Inisiatif tersebut yang telah dilancarkan sebelum ini oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 9 November sempena Hari Kewangan 2022 di Mesir juga bertujuan memberi insentif kepada pengurusan pelepasan karbon dalam kalangan pembekal Kossan.

Melalui program ini, pembekal boleh mengakses Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF) berjumlah RM2 bilion untuk membiayai modal kerja PKS atau perbelanjaan yang berkaitan dengan amalan rendah karbon pada kadar yang berpatutan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kossan, Tan Sri Lim Kuang Sia berkata, program GVC merupakan situasi menang-menang untuk syarikat dan para pembekal selain dapat memanfaatkan alam sekitar.

Menurut Kuang Sia, usaha tersebut juga adalah salah satu langkah penting dalam usaha berterusan syarikat untuk menjadi lebih hijau.

“Kami (Kossan) komited untuk menjadi syarikat berdaya tahan karbon dan ingin memanjangkan pelaburan Hijau ini kepada rakan kongsi rantaian bekalan strategik di bawah program GVC,” katanya pada pada Majlis Pelancaran GVC di Auditorium Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif dan pengasas bersama Pantas, Max Lee berkata, syarikatnya akan membantu PKS untuk mengukur pelepasan gas rumah hijau dan melaporkan petunjuk kemampanan secara konsisten untuk membantu mencapai sasaran pengurangan karbon negara.

Beliau berkata, PKS juga akan menerima akses percuma kepada penyelesaian perisian perakaunan karbon yang dibangunkan Pantas bersama-sama perkhidmatan latihan yang disediakan rakan kongsi penyedia perkhidmatan GVC.

“Ini termasuk Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC), Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd. (CGC), British Standards Institution (BSI), dan AmBank Bhd. (AmBank) untuk memulakan perjalanan pengurusan karbon,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI