fbpx

ECERDC optimis catat pelaburan ke Pahang sebanyak RM9.5 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Rosdy mempengerusikan mesyuarat ICC ECER Pahang.

PETALING JAYA – Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECERDC) menyasarkan untuk mencapai RM9.5 bilion pelaburan komited ke Pahang tahun ini, tumbuh lebih 40 peratus  daripada pelaburan komited yang dicapai sebanyak RM5.5 bilion tahun lepas.

Pelaburan berpotensi dalam sektor pembuatan, perniagaan tani, pelancongan, minyak, gas, dan petrokimia, serta sektor tenaga boleh diperbaharui dijangka mewujudkan lebih banyak pekerjaan baharu dan peluang keusahawanan kepada rakyat Pahang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, ECERDC telah mencapai RM2.07 bilion dalam pelaburan komited di Pahang. 

“Ini adalah hasil usaha promosi intensif ECERDC dan kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Pahang, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Pahang.

Menurut beliau, ECERDC akan mengekalkan momentum pelaburan dan meningkatkan aktiviti promosi pelaburannya untuk menarik lebih banyak pelaburan yang berkualiti dan bernilai tinggi ke negeri Pahang.

“Projek dan inisiatif strategik yang dirancang adalah seperti penambahbaikan infrastruktur dan program pembangunan modal insan yang dijalankan seiring usaha promosi pelaburan dilihat akan membantu mengukuhkan kedudukan negeri Pahang sebagai sebuah destinasi pelaburan pilihan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI