KEMENANGAN ke atas juara bertahan, Negeri Sembilan menyaksikan Young Tigress kini tidak lagi dilabel sebagai pasukan pengacau, sebaliknya berpotensi menjuarai saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.
Skuad projek khas wanita itu ketika ini menduduki tangga ketiga menerusi 13 mata, ketinggalan empat mata di belakang Negeri Sembilan di tangga teratas dan satu mata dengan pasukan tempat kedua, KPT Uniten-Thunder.
Bagaimanapun, ketua jurulatihnya, Lailin Abu Hassan lebih berminat agar para pemainnya menumpukan fokus perkembangan permainan daripada memikirkan peluang menjuarai liga.
“MHL adalah medan terbaik kerana kami dapat menilai keupayaan setiap pemain di posisi masing-masing. Saya dapat lihat mereka ambil sepenuhnya peluang beraksi di MHL ini.
“Ada peluang kalau kami menang baki tiga perlawanan, tetapi ia bergantung kepada keputusan Negeri Sembilan dan KPT. Namun, kami tak nak fikir hingga ke situ dan fokus satu demi satu perlawanan,” katanya.
Young Tigress mencatat kemenangan sensasi 4-3 ke atas Negeri Sembilan pada aksi ketujuh MHL yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelmarin.
Menariknya, Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri berjaya mengukir nama sebagai peledak hatrik buat Young Tigress selain satu lagi gol dihasilkan oleh Kirandeep Kaur Gurdip Singh.
Negeri Sembilan pula terpaksa akur pulang dengan tangan kosong walaupun menjaringkan tiga gol menerusi Hanis Nadiah Onn, Nurfatin Dizana Mohd. Zaidi dan Fatin Shafika Mahd. Sukri.














