DARI jauh, kelihatan seorang gadis genit berkebaya anggun dan sopan berjalan ditemani dua individu lain di sisinya.
Melihat perwatakan ayu dan sesekali tunduk malu, bagi yang tidak mengenalinya pasti merasakan mana mungkin wanita muda berusia 20 tahun dengan kulit sawo matang itu seorang ‘pemukul’ dram.
Berkerjaya sebagai pemain dram, Amirah atau Nur Amirah Syahira Azizul Abidin sebenarnya cukup terkenal di pentas maya. Pemilik akaun YouTube @amiradrummer itu juga bahkan kini berada dalam kedudukan tiga pemain dram wanita terbaik dunia di YouTube.
Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my
DARI jauh, kelihatan seorang gadis genit berkebaya anggun dan sopan berjalan ditemani dua individu lain di sisinya.
Melihat perwatakan ayu dan sesekali tunduk malu, bagi yang tidak mengenalinya pasti merasakan mana mungkin wanita muda berusia 20 tahun dengan kulit sawo matang itu seorang ‘pemukul’ dram.
Berkerjaya sebagai pemain dram, Amirah atau nama lengkapnya, Nur Amirah Syahira Azizul Abidin sebenarnya cukup terkenal di pentas maya. Pemilik akaun YouTube @amiradrummer yang pernah dinobatkan Youtuber Terbaik Asia 2019 itu miliki 2.8 juta pengikut Youtube dengan berbilion tontonan.
Tambah menarik, video-videonya bermain dram, berkebaya sambil mengalun merdu lagu-lagu tradisional atau klasik era Jalan Ampas sering meraih tontonan tinggi.
Di awal pertemuan bertempat di sebuah studio di ibu kota, penulis dan jurufoto bertugas pada mulanya seakan kurang ‘yakin’ walaupun acapkali mendengar kehebatan gadis kelahiran Bukit Mertajam ini bermain dram.
Namun, telahan kami berdua jauh meleset selepas anak sulung daripada tiga beradik itu mula mengetuk dramnya sambil menyanyikan salah satu lagu yang menaikkan namanya di YouTube, Malamku Bermimpi nyanyian asal seniman dan seniwati Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Saloma.
Ditebak bagaimana minat bermain dram boleh muncul dan sebati dalam hidupnya, Amirah memberitahu, sewaktu kecil dan di bangku sekolah rendah, bapanya kerap membawanya ke studio muzik milik rakannya.
“Sejak dari situlah pendedahan dalam bidang muzik mula ada dalam diri. Saya selalu tengok orang bermain dram dan alat muzik lain. Jadi, secara tidak langsung, minat untuk cuba bermain dram mula terbit dari hati. Entah bagaimana, lama-kelamaan jadi seronok. Sejak dari itu saya mula belajar main dram dengan bergurukan YouTube perlahan demi perlahan,” katanya.
Jelasnya, dalam keluarga sama ada sebelah bapa ataupun ibunya, memang tiada langsung siapapun yang berdarah seni atau menceburi bidang muzik.
“Mulanya saya cuma main permainan video dram di komputer dan selepas melihat kesungguhan saya, ayah belikan set dram terpakai berharga RM1,000.
“Sejak dari itu, saya mula berlatih bersungguh-sungguh tanpa rasa jemu sekali gus mempelajari dan menguasai teknik bermain dram seperti roll, marching dan swivel,” katanya.

Semakin meningkat usia, dia kian mahir dan menerima jemputan persembahan atau menyertai pertandingan di dalam dan luar negara. Amirah bahkan pernah berada dalam kelompok lima pemain dram wanita terbaik dunia dalam Hit Like A Girl Contest bawah 18 tahun.
Ditanya mengenai saluran YouTube miliknya, @amiradrummer, pada mulanya, dia sekadar mahu menyimpan videonya bermain dram.
“Saya tidak sangka ia mendapat jumlah tontonan yang tinggi dan sehingga kini saya sudah memiliki lebih 2.8 juta pengikut terutama selepas memuat naik video bermain dram mengalun lagu Zapin Usik Mengusik.
Amirah turut pernah diiktiraf YouTube menerusi Anugerah Gold Play Button selepas mencapai lebih 1 juta pengikut dan kini berada dalam kedudukan tiga pemain dram wanita terbaik dunia di YouTube.
Meskipun berjaya buat ramai tercengang dengan kebolehan luar biasa gadis bermain dram, namun dia turut pernah menerima tempias negatif.Ceritanya, sepanjang lebih 14 tahun bergiat aktif bermain dram, dia turut tidak terkecuali berdepan pelbagai persepsi negatif segelintir masyarakat.
“Biasanya, pada pandangan mereka, perempuan tidak sesuai dan kurang sopan bermain alat muzik itu yang majoritinya dimainkan lelaki. Namun, saya tidak ambil pusing perkara itu dan saya teruskan apa yang dilakukan kerana percaya dengan kemampuan diri,” katanya.
Mengenai penampilannya yang sinonim dengan kebaya, dia mengakui memang selesa dan suka mengenakan pakaian tersebut.
Katanya, dia mula memakai kebaya yang boleh dikatakan sebagai ‘uniform’ ketika melakukan persembahan atau memasuki mana-mana pertandingan sejak usia lapan tahun lagi.
“Saya memang suka pakai baju kebaya sejak kecil lagi. Jujur saya selesa dengan pakaian tersebut walaupun kelihatan agak kurang sesuai bagi sesetengah orang.
“Kalau ditanya dari segi koleksi, lebih 200 pasang baju kebaya saya ada sejak kecil sampailah sekarang. Ada yang saya beli di sini dan dari Indonesia,” katanya.
Mengenai perancangan masa depan, selain fokus bermain dram sebagai sumber pendapatan utama, kata Amirah, dia juga sibuk menceburi perniagaan antaranya bisnes minyak wangi dan bakal keluarkan makanan kudapan biskut tidak lama lagi.














