fbpx

Pesara guru bersyukur tidak perlu asingkan diri selepas implan koklea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMMAD Baki Ramly ketika ditemui pada Sambutan Hari Pendengaran Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 di HRPB hari ini.

IPOH – Seorang pesara guru bersyukur apabila tidak perlu lagi mengasingkan diri dari masyarakat setelah menjadi pesakit pertama yang menjalani pembedahan implan koklea di Perak, 13 tahun lalu.

Pesara guru tersebut, Mohammad Baki Ramly, 68, berkata, masalah pendengaran tahap serius (profound hearing loss) yang dialaminya membuatkan dia hilang keyakinan diri apabila berhadapan dengan masyarakat.

“Sebelum ini, apabila rakan-rakan sekerja berkumpul atau bersembang, saya terpaksa mengasingkan diri kerana tidak dapat mendengar dengan baik perbualan mereka. Saya hilang keyakinan diri dan disebabkan itu saya terpaksa bersara awal,” katanya ketika ditemui sewaktu Majlis Perasmian Sambutan Hari Pendengaran Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini.

Bekas Guru Sekolah Kebangsaan Hutan Melintang itu berkata, beliau mengalami masalah pendengaran sejak berpindah semula ke Semenanjung sebaik sahaja turun daripada kapal terbang.

“Sejak dari itu, saya rasa pendengaran kurang jelas dan terus rujuk ke hospital. Ternyata gegendang telinga saya sudah bernanah. Sebelum menjalani pembedahan koklea, saya terpaksa memakai alat bantu dengar tetapi kualitinya tidaklah seperti pendengaran asal,” ujarnya.

Katanya, pembedahan implan koklea ini mengembalikan keyakinan dirinya untuk bergaul bersama masyarakat termasuk menjalankan aktiviti harian termasuk menghadiri ceramah-ceramah agama serta bergaul bersama rakan-rakan.

Sementara itu, Pengarah Perkembangan Perubatan Kementeria Kesihatan (KKM), Dr. Mohd. Azman Yacob berkata, setakat ini 576 pembedahan implan koklea telah dijalankan di seluruh Malaysia dan 70 di Perak.

Menurutnya, kos bagi pembedahan ini agak tinggi sehingga mencecah antara RM80,000 hingga RM120,000 bergantung kepada teknologi yang digunakan dan boleh dilakukan pada semua peringkat umur.

“Tetapi bagi pesakit-pesakit yang tidak mampu, kita ada saluran bantuan kepada mereka yang merupakan tabung bantuan perubatan dikelolakan oleh KKM dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI