fbpx

Kekayaan jutawan, bilionair dunia merosot 10 peratus tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Elon Musk (kanan) dan Jeff Bezos (kiri) ialah antara manusia terkaya di dunia. - El CEO

LONDON – Golongan ultra kaya di seluruh dunia menyaksikan nilai kekayaan mereka menyusut sebanyak 10 peratus pada 2022 berikutan perang di Ukraine, namun prospek pada tahun ini diunjur lebih cerah, demikian menurut satu kajian yang diterbikan kelmarin.

Kajian dilakukan sebuah firma perunding hartanah yang berpangkalan di London, Knight Frank itu meneliti keadaan dihadapi oleh individu yang mempunyai nilai kekayaan bersih ultra tinggi atau digelar UHNWI.

Individu-individu yang tergolong dalam kumpulan itu adalah mereka yang mempunyai nilai kekayaan bersih sekurang-kurangnya AS$30 juta (RM134.20 juta) termasuk kediaman utama milik sendiri.

“Pasaran yang mencabar bermakna sebahagian besar golongan UHNWI menyaksikan kekayaan mereka merosot pada tahun lepas dengan nilai kekayaan kolektif jatuh sebanyak 10 peratus,” kata laporan berkenaan.

Kadar itu adalah bersamaan dengan AS$10.1 trilion (RM45.18 trilion), demikian menurut laporan yang sama.

“Tahun lalu, krisis di Ukraine telah mencetuskan masalah tenaga di Eropah dan menyebabkan inflasi semakin meningkat.

“Kesan daripada itu, 2022 menyaksikan salah satu pergerakan menaik yang paling ketara dalam sejarah bagi kadar faedah global,” kata Ketua Penyelidikan Global Knight Frank, Liam Bailey.

Tambah laporan yang sama, walaupun empat daripada 10 golongan ultra kaya menyaksikan kekayaan mereka meningkat pada 2022, trend tersebut adalah negatif.

“Ia bukan sesuatu yang mengejutkan melihatkan kenaikan kadar faedah yang diumumkan oleh beberapa bank pusat untuk mengatasi peningkatan inflasi,” tambahnya.

Individu ultra kaya Eropah adalah yang paling teruk terjejas dengan kejatuhan nilai kekayaan sebanyak 17 peratus, diikuti dengan Australia sebanyak 11 peratus dan Amerika Syarikat turun sehingga 10 peratus. 

Individu terkaya di Benua Afrika dan Asia pula sedikit terjejas dengan mencatatkan penurunan masing-masing sebanyak lima dan tujuh peratus. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI