fbpx

Istiadat Perbarisan Hari Tentera Darat ke-90 penuh regimental, tradisi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zamrose memeriksa perbarisan pada Istiadat Perbarisan Dan Perutusan sempena Hari Tentera Darat ke-90 di Kem Perdana Sungai Besi, hari ini. - Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Istiadat Perbarisan Hari Tentera Darat ke-90 dilaksanakan penuh dengan rejimental dan tradisi ketenteraan melibatkan kesemua 16 kor dan rejimen dalam Tentera Darat Malaysia (TDM).

Hari Tentera Darat yang disambut pada setiap 1 Mac telah menginjak usia 90 tahun dan merupakan acara tradisi yang dianjurkan bagi mengukuhkan kesatuan serta mengeratkan hubungan Tentera Darat dengan masyarakat.

Sempena sambutan tahun ini, tema yang sama seperti tahun lepas masih dikekalkan iaitu ‘Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin’.

Istiadat perbarisan gilang gemilang itu melibatkan seramai 58 orang pegawai dan 1,426 anggota lain-lain pangkat (LLP) yang diketuai Pegawai Memerintah Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize), Leftenan Kolonel Mohd. Azamri Abdullah.

Dalam pada itu, istiadat perbarisan mengarak tujuh panji-panji terdiri daripda Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD), Rejimen Semboyan Diraja (RSD), Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Rejimen Artileri Diraja (RAD) dan Kor Perkhidmatan Diraja (KPD).

Perbarisan tujuh panji-panji diiringi gabungan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (PP RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD) dan Brass Band Wanita Rejimen Semboyan yang diketuai Mejar (DOM) Azizan Yahya.

Selain itu, turut diadakan terbang Lintas Hormat lima pesawat terdiri daripada tiga buah pesawat A109 LOH dan dua buah pesawat MD 530G.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, sambutan itu bertujuan mengenang kembali segala pengorbanan warga TDM terdahulu yang telah berjuang demi mengekalkan kedaulatan tanah air.

Kata beliau, fokus tentera darat untuk tahun ini pula tertumpu kepada tiga aspek utama bagi menjamin kecemerlangan TDM dapat diteruskan.

“Agenda meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan warga akan terus menjadi keutamaan tentera darat.

“Tentera darat juga akan terus mengukuhkan komitmen untuk membantu kerajaan dan rakyat melalui pendekatan dengan memperlengkapkan pasukan dalam aspek keanggotaan dan aset serta mengukuhkan hubungan dengan kerajaan pusat, kerajaan negeri dan agensi-agensi kerajaan yang lain.

“Fokus juga akan diberi dalam aspek kesiagaan dan pengukuhan organisasi tentera darat. Tentera darat perlu terus membangun dan meningkatkan keupayaannya agar sejajar dengan perubahan persekitaran semasa,” katanya ketika berucap di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.

Sementara itu, Zamrose turut berkesempatan menyampaikan beberapa anugerah iaitu Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera (AKPAT), Anugerah Pengurusan Inovasi Tentera Darat (APITD), Penganugerahan Pisau Tentera Darat, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Pingat Kedaulatan Negara (PKN).

Tiga penerima dianugerahkan Pisau Tentera Darat iaitu Staf Sarjan Eddyfaizam Mohd. Pakri (naik pangkat ke Pegawai Waran 2), Koperal Mac Lysander Anak Batu dan Koperal Mohd. Shafiq Abidin (naik langkat dari Koperal ke Sarjan).

Eddyfaizam telah menemukan empat mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada Disember 2022, manakala Lysander dan Mohd. Shafiq telah menyelamatkan seorang warga emas dan bayi berusia tiga bulan dalam banjir di Shah Alam dengan berenang sejauh 100 meter melawan arus deras. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI