fbpx

Hadi Awang `kemurungan politik’ – Najwan Halimi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najwan berkata naratif Pas 'kerajaan akan jatuh' menunjukkan Hadi tidak menerima kenyataan serta belum pulih dari penyakit kemurungan politik.

PETALING JAYA –  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi mendakwa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih belum pulih daripada penyakit ‘kemurungan politik’.

Beliau membuat dakwaan itu setelah Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Marang mengeluarkan kenyataan menjangkakan kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tumbang dalam masa terdekat.

“Omongan kosong Presiden Pas yang secara konsisten dengan naratif ‘kerajaan akan jatuh’ sejak Anwar berjaya membentuk kerajaan menunjukkan betapa beliau masih tidak dapat menerima realiti serta belum pulih dari penyakit kemurungan politik.

“Apa yang nyata, pandangan beliau tiada asas. Realitinya, Kerajaan Perpaduan amat kukuh dengan sokongan majoriti dua pertiga.

“Lebih 100 hari sejak Perdana Menteri menerajui pentadbiran negara beliau telah berjaya mewujudkan kesepakatan dan keyakinan dalam kalangan parti-parti yang bergabung membentuk kerajaan,” ujarnya.

Katanya, pelbagai ikhtiar telah dilaksanakan Perdana Menteri untuk menetapkan semula hala tuju dan keutamaan kerajaan.

“Melihat kepada pembentangan Belanjawan 2023 baru-baru ini, ia turut membuktikan komitmen kerajaan untuk menangani masalah rakyat terkait kos sara hidup serta membasmi kemiskinan.

“Dasar luar negeri serta penghormatan yang dizahirkan oleh negara-negara lain juga semakin baik sejak diterajui Anwar,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan dakwaan sedemikian merupakan satu bentuk perang saraf untuk menggambarkan seolah-olah wujud ketidakstabilan politik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI