fbpx

Contohi kecekalan, mentaliti Azizulhasni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH (tengah) beramah mesra dengan pelanggan yang mendaftar di kaunter Pesuruhjaya Sukan Malaysia pada Hari Terbuka KBS di Menara KBS, Putrajaya semalam. – FAISOL MUSTAFA

KEJAYAAN jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang merangkul pingat perak pada Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Jakarta, Indonesia Sabtu lalu menarik perhatian Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, atlet berusia 35 tahun itu langsung tidak mengenal erti putus asa walaupun kurang setahun menjalani pembedahan jantung terbuka April tahun lalu.

Tambah beliau, sikap Azizulhasni yang tidak suka mencari alasan selain memiliki ketahanan mental, menjadikan beliau antara atlet berbasikal terbaik dunia pernah dilahirkan dalam arena sukan negara.

“Apabila tengok Azizulhasni, beliau betul-betul ada keazaman tinggi untuk menang serta memperbaiki diri. Ini adalah mentaliti yang kita perlukan dalam setiap atlet walaupun dia baru sahaja menjalani pembedahan.

“Dia memiliki pemikiran yang tidak mudah memberi alasan dan ia sepatutnya ada dalam setiap jaguh sukan. Azizulhasni sangat cemerlang dalam aspek ini berbanding atlet lain,” kata­nya kepada pemberita pada Hari Terbuka KBS di Menara KBS, Putrajaya semalam.

Justeru, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut berharap atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu menggunakan pengalaman yang ada bagi membantu atlet-atlet lain dalam me­nerapkan karakter tersebut dalam diri masing-masing.

“Apa yang saya lihat, Azizulhasni menggunakan kekurangan tersebut bagi memperbaiki diri. Saya harap dia boleh bantu atlet-atlet lain untuk berjuang dan memiliki pemikiran sama kerana dalam sukan, ketahanan mental paling penting,” tambahnya.

Azizulhasni meraih pingat perak dalam acara keirin pada kejohanan Piala Negara-Negara UCI Sabtu lalu sebelum menamatkan acara pecut di tempat ketujuh sehari kemudian.

Sementara itu, Hannah menjelaskan, objektif penganjuran Hari Terbuka KBS adalah bagi memudahkan urusan mana-mana penganjur untuk menganjurkan program memandangkan urusan sebelum ini dikatakan terlalu rumit.

“Kita harap dengan adanya perkhidmatan seperti ini, tidak ada alasan persatuan atau kelab beritahu susah nak anjur program kerana sukar dapat kelulusan. Diharapkan dengan ada program ini, persatuan sukan boleh pastikan setiap tahun mereka ada sekurang-kurangnya satu program,” ujar Hannah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI