fbpx

K2

Pertahankan seni warisan bangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBUS merupakan entiti budaya yang perlu dipopularkan dalam industri muzik tempatan. -GAMBAR HIASAN

SENI merupakan salah satu elemen kebudayaan dalam sesebuah masyarakat yang perlu dipelihara.

Seni juga merupakan perlambangan terhadap warisan sesebuah masyarakat termasuk permainan gambus.

Pensyarah Kanan Jabatan Muzik, Fakulti Seni Kreatif, Universiti Malaya, Dr. Marzelan Salleh berkata, dari sudut warisan, gambus merupakan salah satu alat muzik warisan tidak ketara.

Menurutnya, gambus amat popular dalam kalangan masyarakat Melayu terutamanya di Johor.

Tambahnya, kesenian gambus merupakan lambang tradisi kaum Melayu di negeri tersebut.

“Hal ini terbukti apabila kita memperkatakan tentang kaitan gambus dengan tarian zapin dan muzik ghazal. Masyarakat akan terus merujuk kepada Johor.

MARZELAN

“Gambus merupakan entiti budaya yang perlu dipopularkan dalam industri muzik tempatan.

“Ini kerana gambus mencerminkan jati diri Melayu Johor, selain menjadi salah satu budaya bangsa Malaysia,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Tambahnya, muzik tradisional seperti gambus juga boleh dijadikan sebagai instrumen perpaduan dan persefahaman kaum.

Jelasnya, ia boleh digunakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim, di samping menitikberatkan kelangsungan seni warisan yang semakin dipinggirkan.

“Usaha memelihara seni warisan gambus perlu dilakukan segera agar ia tidak pupus ditelan zaman,” katanya.

Sementara itu, Marzelan berpendapat, pihak berkepentingan perlu melakukan pelbagai usaha bagi melestarikan tradisi gambus.

Jelasnya, ia bagi mempertahankan khazanah warisan budaya berkenaan agar kekal sepanjang zaman.

“Penggunaan platform media sosial dan lain-lain wajar digunakan bagi mendedahkan maklumat tentang permainan gambus.

“Usaha ini perlu dilakukan bagi meluaskan pemahaman dan penerimaan gambus sebagai instrumen muzik tradisional yang fleksibel melalui penciptaan lagulagu kontemporari yang baharu.

“Gambus juga boleh dipromosikan sebagai kraf tangan kebudayaan ke peringkat lebih tinggi, sekali gus membantu memelihara keunikannya,” jelasnya.

Sebelum menutup bicara, Marzelan berkata, sebuah buku perlu dihasilkan bagi menceritakan secara menyeluruh mengenai pembuatan, sejarah, kajian dan dokumentasi berkaitan gambus.

“Usaha ini sangat penting bagi memastikan legasi berkenaan terus dihargai dan seni gambus kekal menjadi khazanah berharga buat negara. Ia penting untuk tatapan generasi akan datang,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI