fbpx

‘Show’ buka puasa, jangan hentam, jatuhkan hukum – Awie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AWIE

KUALA LUMPUR – Menyedari persembahan pada majlis berbuka puasa sering dipandang serong, Datuk Awie berharap orang ramai tidak cepat jatuh hukum tanpa memahami pengisian program yang diketengahkan.

Mewakili Wings, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, program Wings Semarakkan Malam Cinta Ramadan yang kini memasumi tahun ketujuh penganjuran sudah menjadi acara yang menyajikan santapan rohani, bukan hiburan semata-mata.

“Sebelum berbuka puasa, kita akan diperdengarkan alunan bacaan al-Quran, kemudian diteruskan dengan solat maghrib manakala sementara menunggu Isyak, sesi tazkirah pula berlangsung.

“Majlis disusuli pula solat tarawih dan sebaik sahaja semua selesai, barulah persembahan Wings bermula.

“Semua perkara itu sudah kami perincikan tetapi mereka yang tidak hadir hanya tahu menghentam tanpa usul periksa. Jangan cepat melatah atau jatuh hukum, datang dahulu,” katanya pada pengumuman program Semarakkan Malam Cinta Ramadan, baru-baru ini.

 

Kumpulan rock tersohor itu dijadualkan mengadakan persembahan istimewa di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada 8 April depan.

Bercerita lanjut tentang acara wajib bulan puasa tersebut, Wings sendiri pernah terfikir, sampai bila mahu menyanyi pada bulan mulia tersebut.

“Kami memang terfikir sampai bila mahu beraksi dalam bulan Ramadan, tetapi apabila memikirkan inti pati yang ingin disampaikan lebih ke arah perkara bermanfaat, kita teruskan saja.

“Penganjuran acara yang turut mempunyai pengisian kerohanian seperti ini secara tidak langsung membuka rezeki kepada petugas sokongan.

WINGS dijadualkan mengadakan persembahan istimewa di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada 8 April depan.

“Wings pun sudah lebih tiga dekad dalam industri, bukan budak-budak. Jadi apabila menjayakan persembahan, biarlah bawa impak positif buat semua,” ulasnya lagi.

Mengulas lanjut, penyanyi lagu Hukum Karma itu tidak menafikan mahu memberi fokus terhadap ibadah dalam bulan mulia, namun terikat dengan tanggungjawab kepada keluarga.

“Saya sentiasa beringat sebelum perkara begini menjadi mudarat. Takut terlalu lama buat persembahan di Ramadan, kita tertinggal apa yang wajib.

“Bagaimanapun, saya perlu fikirkan tentang keluarga, isteri dan anak-anak. Saya perlu bekerja barulah dapat duit raya untuk buat persiapan keperluan Syawal buat mereka.

“Saya ada fikir untuk jadikan persembahan ini yang terakhir untuk bulan Ramadan, tetapi banyak perkara yang perlu difikirkan.

“Kalau tak bekerja nanti dapur tak berasap. Insya-Allah semoga ada peluang yang baik pada tahun depan bagi membolehkan kami fokus kepada ibadah sambil bekerja,” luahnya.

Mengenai repertoire persembahan nanti, penyanyi berusia 54 tahun itu turut memaklumkan seleksi dendangan menjurus kepada lagu kerohanian dan ketuhanan daripada kumpulan terkenal.

“Sekarang kami masih dalam proses pemilihan lagu yang turut menyenaraikan dendangan berkonsepkan ketuhanan, kemanusiaan, semangat perjuangan dan cinta terhadap nilai insan.

“Antara seleksi bakal diperdengarkan adalah daripada kumpulan Al-Jawahir selain Sanisah Huri serta lagu penyanyi asal Lubnan yang bermastautin di Sweden, Maher Zain,” katanya.

Bagi yang ingin mendapatkan tiket, tempat duduk untuk satu meja dijual mengikut kategori iaitu Table VVIP (RM15,000), VIP (RM12,000) Platinum (RM8,000), Gold (RM6,000) dan Silver (RM4,000).

Pertanyaan atau tempahan tempat boleh diajukan kepada 019-2888092, 019- 3682548 018-2239934 atau 019- 3721756.-
KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI