fbpx

Bergolok-bergadai demi survival bisnes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lin pernah melalui jatuh bangun dalam bisnes.

MEMULAKAN perniagaan dari bawah dan terpaksa mengharungi pelbagai rintangan merupakan asam garam yang tidak boleh dielakkan.

Itu juga yang dialami usahawan kelahiran Bachok, Kelantan ketika awal-awal memulakan perniagaan berasaskan kosmetik sekitar tahun 2015 lalu.

Mesra disapa dengan nama Lin dalam kalangan ramai, ibu kepada empat orang cahaya mata ini pernah melalui cerita jatuh bangun tersendiri sebelum mengecapi kejayaan yang dimiliki kini.

Menurut Lin atau nama sebenarnya Wan Nor Eziatul Azlin Wan Fadri Sham, perjalanannya untuk bergelar usahawan bukanlah mudah seperti yang disangka orang.

“Saya sebelum ini hanyalah suri rumah sepenuh masa dan menguruskan anak. Suami pula bekerja dalam bidang perkapalan.

“Bila jadi suri rumah, saya rasakan perlu buat sesuatu untuk jana pendapatan sendiri. Jadi saya terfikir dan ambil keputusan untuk berniaga.

“Dari situ, saya tekad untuk pujuk suami dan meminjam duitnya sebanyak RM5,000 bagi modal permulaan perniagaan,” katanya membuka bicara bersama Aura.

Meneruskan perkongsian, pada mulanya suaminya agak berat untuk memberinya izin berniaga, namun peluang tetap diberikan.

Ujar Lin, dia memulakan perniagaan dengan menjual barangan kosmetik daripada pengeluar lain dan macam-macam produk pernah dijualnya dari rumah.

“Lebih setahun berniaga dan faham selok-belok perniagaan, dengan berbekalkan sedikit pengalaman yang ada, saya nekad untuk keluarkan produk sendiri.

“Alhamdulillah bermula tahun 2016, saya dapat keluarkan bedak asas (foundation) sendiri jenama Myca dengan harga RM39 bagi setiap unit,” katanya.

Benar bagai dikata orang, disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

LIn merupakan ibu kepada empat orang cahaya mata.

Begitu jugalah nasib yang dialami Lin tatkala bisnes produknya baru setahun jagung bermula.

“Dua tahun pertama berniaga memang betul-betul kami struggle (keadaan sukar) untuk pastikan Myca dikenali dan dapat dijual.

“Pada masa itu, RM39 agak tinggi bagi pengguna memandangkan bedak asas yang saya jual betul-betul jenama baharu dan belum dikenali.

“Disebabkan nak meneruskan kelangsungan ditambah dengan modal pusingan semakin susut, saya ambil keputusan untuk jual separuh daripada barangan kemas bernilai RM150,000 ketika itu,” katanya.

Beritahu Lin, keputusan nekadnya itu diambil kerana sudah menemui jalan buntu dan tiada lagi jalan lain yang boleh diambil.

Ujar Lin, dia bersyukur kerana lama- kelamaan produknya mula dikenali dan pernah tular di laman sosial sekitar 2019 kerana menjualnya pada harga tidak masuk akal.

“Alhamdulillah strategi yang kami (syarikat) lakukan berkesan. Kami jual barangan kosmetik pada harga RM10 dengan kualiti yang menyamai produk berharga dua tiga kali ganda daripada itu.

“Sampai sekarang Myca masih menjadi bualan dan diperkatakan dalam media sosial.

“Jika ditanya kenapa RM10, jawapannya satu sahaja iaitu untuk membantu lebih ramai orang memiliki produk kami pada harga murah dengan kualiti bermutu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI