fbpx

Bajet 2023: Lebih RM300 juta peruntukan buat sukan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERAJAAN memperuntukkan lebih RM300 juta bagi membangunkan ekosistem sukan yang menyeluruh daripada pencarian bakat sehingga ke acara podium. - Gambar hiasan

KERAJAAN mengumumkan peruntukan RM324 juta bagi tujuan untuk menambah baik program latihan serta kemudahan sukan yang bakal memberikan manfaat kepada semua atlet termasuk atlet para.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat semalam berkata, peruntukan diberikan itu adalah bagi membangunkan ekosistem sukan secara menyeluruh.

“Peruntukan itu antaranya untuk membangunkan ekosistem sukan yang menyeluruh daripada pencarian bakat sehingga ke acara podium serta untuk tujuan penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan sukan di seluruh negara.

“Kerajaan juga bersetuju potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat diberi kepada individu atau syarikat yang menyumbang kepada organisasi bukan berasaskan keuntungan yang melaksanakan program pembangunan sukan di peringkat akar umbi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun menjelaskan, sebanyak RM20 juta turut diperuntukkan kepada program perpaduan yang berlandaskan penerapan nilai-nilai murni antara kaum.

“Keutamaan diberikan kepada program sukan, kebudayaan dan kesenian di peringkat sekolah dan komuniti dengan memastikan penglibatan belia dan semua jenis sekolah secara silang budaya.

“Bagi menjayakan program-program ini, kerajaan akan menyediakan dana geran padanan RM50 juta bagi mendorong penajaan sektor swasta untuk program sukan, khususnya sukan berteraskan perpaduan, penganjuran pertandingan di peringkat kebangsaan dan program realiti sukan,” tambahnya.

Pada masa sama, Anwar juga mengumumkan peruntukan RM5 juta kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bermula tahun ini.

“Pada masa sama, kerajaan turut bercadang untuk memberi potongan cukai kepada majikan yang menggaji bekas atlet negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI