fbpx
EZRA (tiga dari kiri) bersama anak-anak muda yang menjadi tonggak Kairos Agriculture di Kubang Semang, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

Anak muda usahakan ladang vanila pintar pertama di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIADA siapa menyangka bahawa kawasan tanah lapang terpinggir seluas enam ekar (2.4 hektar) dekat Kubang Semang di daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang suatu ketika dahulu kini telah menjadi salah satu daya tarikan baharu di negeri ini.

Kawasan itu telah dibangunkan dengan aktiviti penanaman vanila dan ladang tersebut telah mencipta sejarah tersendiri apabila tercatat dalam Malaysia Book of Records sebagai ladang vanila pintar pertama di Malaysia, dengan pulangan yang dianggarkan lebih RM1 juta setahun.

Mula diusahakan pada tahun 2020, kebun yang diusahakan secara teknologi pintar itu juga semakin berkembang dengan pembukaan sebuah kafe vanila di dalam ladang itu.

Dibangunkan oleh beberapa anak muda sebagai tonggaknya, hingga kini, terdapat belasan ribu pokok vanila yang ditanam di ladang itu.

EZRA (duduk) dan Nurul Fadhilah menunjukkan tanaman vanila yang diusahakan di Kubang Semang, Butterworth, Pulau Pinang baru-baru ini.

Pengerusi Kairos Agriculture, Ezra Tan, 35, berkata, ketika awal pembukaan kafe berkenaan pada tahun 2021, keadaan tidak serancak sekarang berikutan negara sedang berdepan cabaran pandemik Covid-19.

“Sebelum ini, kita terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi sebarang aktiviti operasi perniagaan mahupun perladangan terpaksa ditangguhkan beberapa kali.

“Justeru, boleh dikatakan kafe kami beroperasi secara penuh pada awal tahun ini. Malah, aktiviti pertanian di ladang vanila (yang terlebih dahulu diusahakan pada tahun 2020) pula digiatkan dengan lebih serius dan sehingga kini pokok vanila yang ditanam hampir mencecah 15,000 pokok,” katanya ketika ditemui K2 di kafe ladang vanila tersebut baru-baru ini.

Menurutnya, ladang vanila pintar itu menggunakan Teknologi Pertanian 4.0 meliputi teknologi benda (IoT), kecerdasan buatan (AI), penggunaan data raya serta pembelajaran mesin dan sistem dron.

“Cetusan idea bagi mengusahakan ladang vanila ini sebenarnya adalah untuk menimbulkan kesedaran kepada masyarakat tempatan khususnya mengenai penanaman vanila.

“Selain itu, kita juga ingin merancakkan ekonomi tempatan dengan mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor pertanian.

“Malah, selaras dengan peredaran zaman, teknik tanaman ini juga mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja dari luar selain ingin menyelesaikan masalah kekurangan bekalan makanan,” katanya.

Ezra bersama sebahagian menu makanan dan minuman di Vanilla Cafe by Kairos.

Menurutnya, penanaman vanila diusahakan di dalam 40 buah rumah hijau yang dilengkapi teknologi IoT, dengan anggaran sebanyak lebih 300 pokok bagi setiap satu rumah hijau.

Jelasnya, rumah hijau itu dilengkapi teknologi IoT yang mampu bertindak mengawal kelembapan suhu secara automatik.

“Kita juga menggunakan spektrum cahaya LED yang boleh meningkatkan hasil tanaman, meningkatkan kitaran pertumbuhan tanaman dan meningkatkan pendapatan ekonomi.

“Teknologi sistem gelombang bunyi dengan frekuensi dan tahap tekanan bunyi yang berbeza di bawah rumah hijau boleh merangsang peningkatan output dengan ketara dan boleh menguatkan sistem imun tumbuhan,” terangnya.

Ezra berkata, pihaknya menyasarkan untuk mengeksport vanila mereka dengan eksport utama adalah ke negara Jepun dan Singapura.

“Malah, kami optimis untuk memasarkan produk vanila hingga ke negara Amerika Syarikat (AS) dalam tahun ini juga yang kini masih dalam perancangan, selain ingin mengembangkan produk vanila kepada coklat (berasaskan vanila) yang masih dalam kajian dan penyelidikan,” katanya lagi.

Menurut Ezra, selain mengusahakan tanaman vanila, pihaknya turut mengusahakan beberapa tanaman lain termasuk bayam brazil yang ditanam secara akuaponik, tanaman buah markisa serta beberapa jenis tanaman herba yang lain termasuk sacha inchi.

“Kalau boleh kami nak manfaatkan tanah ini dengan sebanyak tanaman yang boleh memberikan pulangan yang baik bukan sahaja untuk kami, malah penduduk setempat juga,” katanya.

Menceritakan cara pengurusan pokok-pokok vanila, Ezra berkata, cara penjagaannya tidaklah serumit yang disangka disebabkan ia adalah tanaman yang mudah beradaptasi dengan cuaca tropika.

“Pokok vanila yang sudah matang dianggarkan mencecah sehingga umur tiga tahun dan setiap setahun kemudiannya kita sudah boleh menuai hasil vanila itu sendiri.

“Selain itu, bagi memastikan vanila yang diusahakan mencapai kualiti terbaik, pihak kami turut menjalinkan kerjasama dengan pihak Universiti Sains Malaysia (USM) dan University Xiamen Malaysia dari segi penyelidikan dan pembangunan (R&D),” jelasnya yang mempunyai lima pekerja tempatan yang mengendalikan ladang tersebut.

NUR SURAYA (tengah) dan Fatin Nur Syazlin (kanan) ketika melakukan kerja-kerja pertanian bersama Ezra di ladang vanila.

Katanya lagi, nilai pasaran untuk sekilogram vanila adalah antara RM1,500 sehingga RM1,800 yang dilihat mempunyai peluang pasaran yang cerah.

“Dalam usaha mengembangkan hasil tanaman vanila, kami turut menggunakan hasil tanaman vanila di kafe untuk menghasilkan beberapa minuman kopi berasaskan vanila secara premium serta beberapa makanan Barat yang menggunakan sayuran segar dari ladang kami sendiri.

“Kami juga menawarkan pakej melawat sekeliling ladang vanila yang terbuka kepada orang ramai. Kami sering menerima tempahan dari pihak sekolah dan juga institusi pendidikan tinggi tempatan untuk tujuan pendidikan.

“Bukan saja pengunjung boleh melihat ladang vanila yang diusahakan secara lebih dekat, malah mereka juga berpeluang menikmati hidangan makanan dan minuman kopi vanila yang berciri terbuka dan santai,” katanya yang kini sedang menyambung pelajaran di peringkat ijazah sarjana dalam bidang perniagaan.

Ditanya mengenai cabaran dihadapi sepanjang berkecimpung dalam industri pertanian dan perladangan, Ezra berkata, bohonglah jika tidak pernah melalui fasa duka apabila beberapa pelabur bertindak menarik diri berikutan pandemik Covid-19.

“Memang terduduk dan terkejut, namun saya sering mengingatkan diri dan pasukan untuk kekal positif selain percaya bahawa Tuhan akan sentiasa membantu dengan membuka pintu rezeki yang tidak kita jangka.

“Dipendekkan cerita, pada bulan Julai 2020, kami berjaya mendapat pelabur dari Singapura seterusnya beberapa pelabur dari negara lain yang berminat dengan vanila kita. Itulah pemangkin semangat kami untuk terus berusaha sehabis baik sehingga kini,” katanya.

Selain Ezra, dia turut mempunyai pasukan pengurusan yang terdiri daripada barisan lima anak muda berusia lingkungan 23 hingga 33 tahun yang sama-sama mencurah idea baharu dan menggembeleng tenaga bagi memastikan potensi ladang vanila dapat dikembangkan ke pasaran luas.

Mereka terdiri daripada Jay Tan, 32, dan Jason Ooi, 32, yang merupakan Pengarah Kairos Agriculture; John Tan, 23, selaku Pengurus The Vanilla Cafe by Kairos; Joseph Chan, 27, yang berperanan sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) Kairos Agriculture dan Nurul Fadhilah Rudzuwan, 26, sebagai Eksekutif Lawatan (Promosi) Kairos Agriculture.

PELUANG bekerja di ladang vanila bukanlah suatu yang mudah diperoleh dan itulah yang dirasakan para pekerja di Kairos Agriculture.

Seorang pekerja ladang Kairos Agriculture, Fatin Nur Syazlin Mohd. Rosli, 24, berkata, pengalaman menceburkan diri dalam penanaman vanila adalah satu pengalaman menarik serta lain daripada kebiasaan graduan.

“Selalunya selepas tamat latihan industri, kebanyakan graduan jurusan Sains Agrotek akan memilih sektor perladangan lazim seperti tanaman cili, terung, bayam dan sebagainya.

“Namun, saya memilih membuat latihan industri tanaman vanila di Kairos Agriculture kerana memikirkan pengalaman yang bakal ditimba di ladang tersebut memandangkan vanila adalah tanaman herba kedua termahal di dunia selepas safron.

“Selepas tamat latihan industri selama enam bulan iaitu sejak Mac 2022 sehingga Ogos, akhirnya saya diserap sebagai pekerja di sini.

“Saya rasa bertuah kerana dapat berpeluang bekerja di dalam rumah hijau yang dilengkapi teknologi sofistikated,” katanya yang merupakan graduan Universiti Malaysia Terengganu.

Sementara itu, seorang lagi pekerja eksekutif operasi, Nur Suraya Jamalullail, 23, berkata, bidang tugasan hariannya melibatkan penyeliaan keselamatan, mengurus tugasan pekerja ladang serta memastikan kondisi tanaman vanila sentiasa berada dalam keadaan terjamin.

“Seronok bekerja di sini kerana kami terdedah dengan pengalaman baharu contohnya dari segi kaedah penanaman, dan penjagaan yang sedikit berbeza daripada tanaman lazim lain,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN