fbpx

Firman Siagian dekati semula peminat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELEPAS enam tahun, Firman kembali ke negara ini menerusi penglibatannya dalam Konsert ST12 di Axiata Arena pada 11 Mac depan.

PERNAH mencipta populariti di negara ini sekitar 2012 menerusi lagu Kehilangan yang meledakkan namanya, perjalanan karier penyanyi seberang, Firman Siagian berjalan mudah sehingga pernah berpeluang menjayakan persembahan, Firman Siagian Live in Malaysia pada 2014.

Selepas beberapa tahun iaitu pada 2017, dia berpeluang menjadi peserta program realiti popular tanah air, Gegar Vaganza musim keempat (GV4) dengan membawa pulang kemenangan di tempat keenam.

Tetapi sayangnya, selepas GV4 tamat, dia pulang ke negara kelahirannya sebelum dilamar sebuah label rakaman sehingga membataskan kembara kariernya di negara ini.

Sedangkan ketika itu jauh di sudut hatinya, dia menyimpan keinginan mendalam untuk terus mendekati peminat di Malaysia apatah lagi dengan terbentang luas peluang selepas menyertai GV4.

“Tetapi saya terpaksa akur, kesibukan jadual persembahan dan siri promosi bersama label di Indonesia membuatkan hubungan dengan peminat di Malaysia terhenti.

“Saya sentiasa berharap dapat kembali menghiburkan peminat Malaysia yang selama ini menyokong perjalanan karier saya. Tetapi hasrat itu tertangguh lagi apabila dunia dilanda pandemik Covid-19,” katanya.

Begitupun, doa dan penantian panjang penyanyi kelahiran Balige, Toba Samosir itu akhirnya terjawab selepas dia menerima undangan beraksi pada Konsert Reunion ST12/20 Tahun Charly Berkarya pada 11 Mac depan di Axiata Arena, Bukit Jalil.

“Saya melihat konsert ini sebagai jambatan untuk kembali mendekati peminat di Malaysia.

“Tentunya harapan besar saya adalah untuk melunaskan kerinduan terhadap peminat di sini, sekali gus membuatkan saya berazam untuk tampil sehabis baik pada konsert itu kelak,” katanya lagi.

Penyanyi yang memulakan langkah dalam bidang nyanyian selepas menyertai pertandingan Indonesian Idol pada 2005 itu mengimbau kembali perjalanannya bersama ST12.

Imbasnya, kolaborasi tersebut tercetus selepas dia diundang sebagai vokalis kumpulan itu pada 2019 yang dilihat sebagai pilihan tepat apatah lagi dia turut memperjuangkan muzik pop Melayu yang sudah menjadi ciri khas ST12 selama ini.

“Untuk memberikan sedikit perbezaan, saya menyuntik sedikit sentuhan rock, tetapi asas muzik ST12 yang ada pengaruh Melayu tetap dikekalkan. Sudah tentu saya berbangga apabila diberi kepercayaan menjadi vokalis band pop Melayu yang besar di Indonesia.

“Saya terharu diundang menyertai konsert ini. Sebagai pemuzik, kami berpegang kepada satu tujuan iaitu melakukannya seikhlas hati untuk peminat dan semua yang terlibat.

“Kejujuran itu yang saya pegang dan pastinya, saya akan tampil optimum untuk memuaskan hati peminat yang sudah lama menanti kami kembali beraksi di Kuala Lumpur,” katanya.

Tiket Konsert ST12 Reunion/20 Tahun Charly Berkarya berharga RM99, RM152, RM252 dan RM282 boleh diperoleh menerusi laman web www.ticket2u.com.my. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI