fbpx

Mahkamah: Bung Moktar, Zizie bela diri tuduhan rasuah 15 Jun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bung Moktar dan isteri, Zizie Izette. - Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Keterangan bela diri Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette A. Samad terhadap pertuduhan rasuah melibatkan pelaburan RM150 juta wang Felcra, akan didengar oleh Mahkamah Sesyen di sini bermula 15 Jun ini.

Meskipun pendengaran rayuan di Mahkamah Rayuan belum ditetapkan, Hakim Rozina Ayob `menyekat’ dahulu tarikh-tarikh perbicaraan kerana kes itu yang didaftarkan pada 2019, diklasifikasikan sebagai kes lama.

Di Mahkamah Rayuan, Bung Moktar dan isteri merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan.

“Kes ini lama, tahun 2019, kita tidak mahu kes ini terabai. Jadi saya terpaksa `block’ tarikh-tarikh perbicaraan bagi mengelakkan diari mahkamah penuh,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau menetapkan keterangan Ahli Parlimen Kinabatangan dan isterinya didengar selama 13 hari pada Jun dan Julai ini.

Tarikh-tarikh pada bulan Jun ialah 15, 16, 26 dan 27 manakala bulan Julai pula pada 10 hingga 14 manakala tarikh lain pada 20, 21, 24 dan 25 Julai.

Hari ini ditetapkan untuk sebutan bagi mengetahui perkembangan rayuan kedua-duanya di Mahkamah Rayuan. Rozina menetapkan satu lagi sebutan pada 27 Mac ini.

Terdahulu, peguam M. Athimulan yang mewakili Bung Moktar memaklumkan setakat ini Mahkamah Rayuan belum ditetapkan tarikh pendengaran rayuan pasangan itu.

Beliau berkata, Mahkamah Rayuan masih menunggu rekod rayuan termasuk penghakiman bertulis dan nota keterangan daripada Mahkamah Tinggi.

Athimulan turut memaklumkan, pihak pembelaan akan mengemukakan keterangan enam saksi termasuk Bung dan Zizie Izette dan masih menimbang sama ada untuk menyediakan pernyataan bertulis ketika perbicaraan kelak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI