“BIASA? Maksudnya?” Itu dua perkataan yang sering disebut-sebut dan berulang kali didengari saat warganet membuka aplikasi TikTok.
Bersahaja dengan gaya penuh sopan manja sambil melentokkan kepala ketika melayani pertanyaan pelanggan, nama anak muda berusia 24 tahun itu tiba-tiba tular.
Tindakan spontannya tanpa pernah dirancang dengan penuh sopan dan lemah lembut itu disenangi banyak pihak terutama para gadis.
Ibarat hero Malaya kepada para gadis di luar sana ketika ini, Ahmad Adib Aidil tidak pernah menyangka tindakan ‘comelnya’ itu bakal membuatkan dirinya tiba-tiba dikenali ramai.
Tidak setakat di Malaysia, namanya turut disebut-sebut dan diterima warganet dari negara serumpun seperti Indonesia, Singapura dan Brunei.
“Jujur saya sendiri tidak menyangka apa (tular) yang terjadi ketika ini. Disebabkan video berdurasi dua saat itu jugalah, perniagaan pisang goreng cheese saya semakin dikenali.
“Ini dikatakan kuasa viral media sosial. Sekelip mata boleh dikenali dan menjadi bualan warganet di media sosial,” katanya membuka butir kata bersama K2 semasa ditemui di gerainya di Kajang, Selangor.
Menurut anak muda berusia 24 tahun itu, perniagaan pisang goreng yang diusahakan sejak dua tahun lalu itu hanya biasa-biasa dan kurang dikenali.
Katanya, selepas videonya melayani pelanggan dengan gaya selamba dan penuh lemah lembut, diri serta perniagaannya terus tular.
“Alhamdulillah, ketika nama saya sedang diperkatakan ketika ini, perniagaan kecil-kecilan yang saya jalankan turut menerima tempias.
“Bananadibs mula dikenali dan para pelanggan sanggup beratur pada pukul 10 pagi, walaupun gerai memulakan perniagaan sejam kemudian.
“Masing-masing hendak jumpa saya dan lihat sendiri bagaimana sopan serta lemah lembutnya saya melayani pelanggan sambil merasai sendiri pisang goreng yang dijual,” katanya.
Menariknya, pemuda yang mesra disapa dengan Adib itu mempunyai kelulusan dalam bidang penerbangan dari Malaysian Flying Academy.
Beritahu Adib, asal usul perkataan ‘biasa dan maksudnya’ itu disebabkan daripada pelanggan yang bertanyakan sama ada dia turut menjual pisang goreng biasa atau original (asli).
Bagi menjawab pertanyaan pelanggan itu, Adib menjawabnya dengan gaya selamba dan tidak menyangka akan tular dalam media sosial.

Akui anak bongsu daripada tiga beradik itu, sejak perniagaannya dikenali, dia bagaikan tidak cukup tangan bagi melayani tempahan pelanggan yang hadir berduyun-duyun.
“Kalau ikutkan sudah dua tahun saya berniaga menggunakan jenama sama iaitu Bananadibs. Jualan juga hanya biasa-biasa dan sukar untuk jual lebih daripada 30 kilogram (kg) pisang sehari.
“Bagaimanapun, selepas tular, jualan melonjak enam kali ganda daripada jumlah asal dan boleh sampai 200 kg pisang pada hujung minggu,” katanya.
Menurut Adib, banyak tawaran daripada syarikat-syarikat ternama melamarnya untuk menjadi duta dan jurucakap selain model produk mereka.
Katanya, tidak kurang juga lamaran dalam dunia peragaan serta dilamar pengarah dan pelakon popular Erma Fatima untuk membintangi naskhah arahannya.
Bagaimanapun, semua itu terpaksa ditolak Adib secara baik kerana tidak mahu impiannya bergelar juruterbang terkubur buat selamanya.
Kongsinya, selepas dua tahun tidak dapat berbuat apa-apa dan terpaksa berehat, kini impiannya bergelar juruterbang bakal terlaksana tidak lama lagi.
“Baru-baru ini saya ada pergi satu temu duga untuk jawatan sebagai juruterbang atau pegawai pertama (first officer) bagi sebuah syarikat penerbangan.
“Doakan ada rezeki buat saya nanti, tetapi jangan risau, saya tetap akan meluangkan masa dan berniaga sama seperti sebelum ini. Cumanya mungkin masanya agak terhad,” katanya.
Berbeza pula dengan kisah seorang penjual nasi lemak yang juga janda muda dikenali sebagai Sharifah Nurul Hamirah Syed Mohd. Hamza apabila kuasa viral membuatkan dirinya dikenali ramai.

Ujar ibu kepada dua orang cahaya mata itu, biarpun rumah tangga yang dibina ‘karam’, namun dia tetap cekal meneruskan hidup demi anak-anak tercinta.
Mesra disapa dengan panggilan Mya dalam kalangan pelanggannya, dia berkata, perniagaan secara kecil-kecilan itu diusahakan selepas lebih empat tahun makan gaji dengan bekerja di premis menjual minyak wangi.
Ujar wanita berusia 30 tahun itu, sambutan hebat yang diterima daripada pelanggan membuatkannya berani mengorak langkah membuka gerai nasi lemak di Sentul, Kuala Lumpur sejak awal Januari lalu.
“Sebelum ini saya bekerja di sebuah kedai minyak wangi di dalam pusat beli- belah di ibu negara.
“Pada masa sama, saya juga banyak buat live TikTok untuk jual minyak wangi.
“Sampai satu masa, saya buat keputusan untuk berhenti dan buka bisnes. Ini merupakan bidang baharu bagi saya.
“Pada tahun lepas, saya berniaga nasi lemak daun pisang dari rumah ke rumah. Ketika itu, saya hanya berniaga secara online.
“Lama-kelamaan, saya rasa macam hendak buka gerai sendiri kerana ada pelanggan yang buat pesanan online sebelum ini, tetapi tidak datang ambil.
“Kalau ada gerai ini senang. Jika nasi lemak tidak habis, hendak bersedekah pun lebih mudah,” katanya.
Tambah Mya, buat masa ini, dia memberi fokus kepada satu menu sahaja iaitu nasi lemak daun pisang dengan telur rebus, sambal dan ikan bilis yang dijual pada harga RM1.50 sebungkus.
Sejak memulakan perniagaan gerai di tepi jalan, Mya turut membuat hebahan dengan berkongsi video-video menerusi media sosial.
Dia tidak menyangka hebahannya itu dihujani ribuan komen daripada netizen dan mencapai tontonan sehingga lebih daripada 1.1 juta penonton.
Akuinya, dia sendiri terkejut dan tidak pernah menyangka dengan sambutan luar biasa itu.
Dia berkata, ia merupakan satu permulaan yang baik untuk perniagaan nasi lemaknya.
“Keluarga sebelah emak saya berasal dari Terengganu dan kebanyakan mereka memang berniaga.
“Jadi, darah bisnes itu memang sudah ada dalam diri ini.
“Bagi bisnes nasi lemak ini, emak yang buatkan sambalnya. Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan sampai tidak menang tangan.
“Dekat gerai ramai yang beratur. Memang viral melampau-lampau. Walaupun sudah habis, tetap ada orang beratur dan sanggup tunggu. Saya tak jangka gerai ini akan viral,” katanya.














