fbpx

Sepanyol luluskan cuti datang bulan pertama di Benua Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cuti haid perlu diluluskan oleh doktor di hospital. - iStock

MADRID – Parlimen Sepanyol meluluskan cuti perubatan berbayar kepada wanita yang mengalami kesakitan teruk semasa datang haid, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Keputusan tersebut menjadikan Sepanyol negara Eropah pertama meluluskan undang-undang sedemikian.

“Ini adalah hari bersejarah untuk kemajuan wanita,” kata Menteri Kesaksamaan, Irene Montero dalam satu kenyataan di laman Twitter sebelum sesi pengundian di Parlimen.

Undang-undang itu membenarkan pekerja wanita yang sakit semasa datang haid untuk mengambil cuti tanpa had. Bagaimanapun, mereka perlu mendapatkan kelulusan perubatan daripada doktor bagi tujuan tersebut.

Tempoh cuti sakit yang boleh diberikan oleh doktor kepada pekerja wanita tidak dinyatakan dalam undang-undang tersebut.

Kira-kira satu pertiga daripada wanita yang datang bulan mengalami sakit yang teruk, demikian menurut Persatuan Ginekologi dan Obstetrik Sepanyol.

Keputusan tersebut menyaksikan terdapat pihak yang menyokong dan sebaliknya.

Salah sebuah kesatuan sekerja terbesar Sepanyol, UGT memberi amaran bahawa cuti haid boleh mewujudkan stigma terhadap wanita di tempat kerja dan menyebabkan syarikat memilih untuk menggaji pekerja lelaki.

Parti pembangkang utama, Parti Popular (PP) memberi amaran bahawa undang-undang itu berisiko ‘mencemari wanita dan membawa akibat buruk dalam pasaran buruh’ di negara berkenaan.

Undang-undang baharu itu juga membenarkan remaja bawah umur berusia 16 tahun dan 17 tahun menggugurkan kandungan tanpa perlukan kebenaran ibu bapa sekali gus memansuhkan syarat itu yang diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini pada 2015. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI