fbpx

Pengurusan kewangan caca merba, kerajaan rugi RM158 juta tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Azman menunjukkan Buku Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021 Siri 2 pada sesi taklimat kepada petugas media hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Jabatan Audit Negara memaklumkan bahawa ketidakpatuhan terhadap pengurusan kewangan telah menyebabkan isu kehilangan atau kerugian wang awam, pembayaran tidak teratur serta pembaziran kepada kerajaan berjumlah RM158.08 juta pada 2021.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, jumlah tersebut diperolehi hasil daripada tujuh tajuk pengauditan pematuhan di tiga kementerian dan empat jabatan persekutuan dengan jumlah semakan Audit berjumlah RM1.127 bilion.

“Pengauditan dibahagikan kepada Kategori Terimaan dengan jumlah semakan RM78.86 juta dan kategori bayaran dengan jumlah semakan RM1.048 bilion.

“Isu yang melibatkan kehilangan dan kerugian wang awam adalah sejumlah RM116.95 juta, pembayaran tidak teratur sejumlah RM26.03 juta dan pembaziran sejumlah RM15.10 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi taklimat Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021 Siri 2 di sini hari ini.

Menurut Nik Azman, berdasarkan audit yang telah dijalankan, secara keseluruhan pelaksanaan aktiviti, projek dan program oleh Kerajaan Persekutuan didapati telah dilaksanakan mengikut objektif yang telah ditetapkan.

“Bagaimanapun, masih terdapat kelemahan seperti sasaran pengeluaran (output) dan keberhasilan yang ditetapkan tidak tercapai sepenuhnya susulan wujud kecuaian mematuhi peraturan juga prosedur yang ditetapkan kerajaan selain perancangan yang kurang teliti.

“Susulan itu, sebanyak 22 syor telah dikemukakan untuk dipertimbangkan pelaksanaannya oleh kementerian, jabatan dan agensi persekutuan yang telah diaudit,” ujar beliau.

Terdahulu, Nik Azman memaklumkan bahawa LKAN Tahun 2021 Siri 2 itu telah dibentangkan di Parlimen pagi tadi dan kandungannya turut diterbitkan hari ini menerusi pautan https://lkan.audit.gov.my/. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI